Ticker

6/recent/ticker-posts

PERUNTUKAN RM56 JUTA, RANTAU PANJANG BAKAL BERGELAR BANDAR PELANCONGAN SEMPADAN

Oleh: Norzana Razaly

RANTAU PANJANG, 11 Februari - Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan bersetuju membangunkan tapak pekan Rantau Panjang sebagai Bandar Pelancongan Sempadan Malaysia-Thailand, bermula Mac 2025.

Ahli Parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff  memaklumkan pembangunan tersebut melibatkan tiga komponen utama bernilai RM56 juta.

Katanya, atas usaha negosiasi pihaknya dalam sesi Kamar Khas Persidangan Parlimen pada 18 November 2024 dengan Kementerian Ekonomi (KE), dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta sokongan Kerajaan Negeri Kelantan, mereka bersetuju menjadikan Rantau Panjang sebagai Bandar Pelancongan Sempadan Malaysia-Thailand.

“Pertama, KE menyalurkan dana melalui Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) bernilai RM15.5 juta untuk pengindahan pekan Rantau Panjang menjadi bandar pelancongan sempadan.

"Projek ini akan dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

“Kedua, MOTAC membiayai RM500 ribu untuk menaik taraf Pasar Siti Fatimah bermula Mac depan.

"Antara infrastruktur yang akan ditambah baik ialah landskap di sekitar pasar, cat baharu tandas awam, pembinaan tandas Orang Kelainan Upaya (OKU) dan lif untuk kemudahan peniaga memunggah barang.

“Ketiga ialah pembangunan Pusat Pertumbuhan Baharu Rantau Panjang yang akan mengandungi Pusat Ekonomi Setempat dan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang baharu yang kedua-duanya dianggarkan bernilai lebih RM40 juta di sekitar kawasan Kampung Banggol Kulim, berhampiran Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Masjid Beijing),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pembinaan kompleks niaga yang khas adalah keperluan memandangkan pusat niaga yang sedia ada kurang sesuai kerana tidak berpusat.

“Zon Bebas Cukai sedia ada ini bercampur dengan Kawasan penempatan penduduk, tanah perkuburan, dan berdekatan sekolah serta sering dilanda banjir, jadi kita fikir perlunya ada satu kompleks niaga khas yang strategik dan terkawal yang sesuai dengan tarafnya kerana zon bebas cukai sepatutnya hanya dipenuhi premis jualan sahaja.

“Jarak pusat ekonomi yang baharu ini hanya setengah kilometer daripada lokasi sedia ada, berdekatan dengan Masjid Bejing, mercu tanda Kelantan. Jadi memang eloklah menjadi salah satu komponen yang bertepatan dengan konsep Bandar Pelancongan Sempadan untuk tarikan pelancong,” ulasnya.

"Selain itu, perancangan ini juga akan memudahkan pihak penguat kuasa membuat kawalan kerana urusan keluar masuk tidak lagi bercampur aduk dengan urusan membeli belah di zon bebas cukai," jelasnya.

Dato' Siti Zailah juga menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan peranan semua pihak yang berusaha keras menjayakan projek berkenaan.

Kelak, kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang sedia ada akan menjadi Pusat Bandar Rantau Panjang yang akan berfungsi sebagai Bandar Sempadan selaras dengan ketetapan dalam Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4), Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 dan Kajian Projek Penentuan Sempadan Bandar Negeri Kelantan.

Beliau berharap agar perancangan membabitkan kerajaan Persekutuan dan negeri itu akan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak terutama penduduk dan peniaga kerana hasrat pemegang taruh ialah pembangunan tersebut memberi manfaat kepada semua pihak.



Post a Comment

0 Comments