Ticker

6/recent/ticker-posts

TANGGUNGJAWAB PEMBANGUNAN INSAN ADALAH AMANAH BESAR – DATO’ DR. MOHD FADZLI

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 11 Februari-  Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan mengingatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelantan dan agensi portfolio berkaitan bahawa pembangunan insan adalah satu amanah besar yang bukan sekadar soal merangka aktiviti tetapi membentuk jiwa, akhlak dan masa depan masyarakat.

Beliau berkata pembangunan insan bukan sesuatu yang boleh dilihat hasilnya dalam sehari dua. Ia ibarat menanam benih. Hari ini kita usahakan dengan penuh kesabaran, suatu hari nanti generasi selepas kita akan menuai manfaatnya.

"Jika kita abaikan hari ini, jangan terkejut jika suatu masa nanti kita terpaksa berdepan dengan generasi yang hilang pedoman," jelasnya.

Beliau berterima kasih Unit Pembangunan Insan atas usaha murni melaksanakan penganjuran taklimat tersebut. 

Dr. Mohd Fadzli juga berharap semoga setiap usaha demikian tidak sekadar menjadi program atas kertas tetapi benar-benar memberi impak kepada jiwa-jiwa yang ingin dibangunkan. 

"Perubahan besar bermula dengan langkah kecil dan semoga kita semua menjadi sebahagian daripada langkah itu," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Pelaksanaan Program-Program di bawah Unit Pembangunan Insan Tahun 2025 di Mabna, pada Isnin.

Sementara itu, ADN Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan mengakui pesanan itu wajar menjadi panduan kepada semua yang terlibat, agar niat murni itu disertai tindakan yang istiqamah dan bersungguh-sungguh.

"Amanah tersebut bukan sekadar kerja rutin, tetapi satu jihad dalam memastikan masyarakat kita terus berada di landasan yang benar.

“Kita semua mempunyai peranan untuk menyemai benih kebaikan ini. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada generasi mendatang,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut berharap semoga usaha Unit Pembangunan Insan itu menjadi titik permulaan kepada pembentukan masyarakat yang lebih berakhlak, berdaya saing dan berintegriti.



Post a Comment

0 Comments