SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payong komited melaksanakan usaha memperkasakan peranan PKD sebagaimana arahan kerajaan negeri.
Adun Bunut Payong Shaari Mat Yaman berkata, manual pengurusan dan pentadbiran baharu yang dikeluarkan Unit Pelaksanaan dan Pemantauan Strategik Pejabat Menteri Besar Kelantan (SPARK) akan digunakan bagi meningkatkan keberkesanan operasi PKD.
Katanya SPARK akan mula turun padang memantau PKD bermula pertengahan Februari ini.
“Saya mengharapkan semua kakitangan pejabat dan penghulu memainkan peranan bagi menjadikan PKD Bunut Payong antara yang terbaik di Kelantan.
“Sebagai permulaan kita menubuh koperasi Dun dan mesyuarat pemilihan jawatankuasa akan dilakukan selepas ia diluluskan,” ujarnya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pusat Khidmat Dun bersama penghulu di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Pembangunan Dun Bunut Payong, Faris Basir berkata, projek-projek pembangunan tahun ini akan dilaksana kan melalui peruntukan yang disediakan kerajaan negeri.
Kata beliau projek tersebut melibatkan pembaikan jalan kampung, baik pulih rumah serta pembinaan rumah untuk golongan asnaf dan dhuafat.
“Selain itu, peruntukan bagi pelaksanaan program turut disediakan termasuk bantuan pertanian, program belia, sukan dan sebagainya.
“Belanjawan yang diluluskan Kerajaan Negeri Kelantan pada November lalu melibatkan peruntukan lebih RM1 bilion, dan lebih RM1 juta akan disalurkan kepada Dun Bunut Payong,” jelasnya.
0 Comments