Oleh: Norzana Razaly
PASIR PUTIH, 6 Februari - Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selising Drs Saipul Bahrin Mohamad, 62, yang pernah mencurah bakti selama dua penggal, menghembus nafas terakhir di Hospital Pasir Putih pada pukul 6.08 pagi Rabu.
Allahyarham yang dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan gigih memperjuangkan pembangunan Selising, meninggalkan legasi dalam bentuk pelbagai inisiatif infrastruktur dan ekonomi, termasuk pembangunan Stadium Bukit Merbau dan Jeram Mengaji Agro Resort.
Berita pemergian Allahyarham dikongsikan Ahli Parlimen Pasir Puteh, YB Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menerusi hantaran di laman sosialnya, semalam.
"Dimaklumkan Ustaz Haji Saipul Bahrin Mohamad, mantan YB Selising telah kembali ke rahmatullah pagi ini. Semoga rohnya dicucuri rahmah Allah SWT," catatnya ringkas.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Alor Hijau selepas selesai solat jenazah, sekitar pukul 6.45 petang.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi DUN Selising dalam dua tempoh, iaitu dari 1999 hingga 2004 dan 2008 hingga 2013.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau dikenali sebagai pemimpin yang komited dalam memperjuangkan kebajikan rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga dan sahabat handai termasuklah kepada penduduk Selising yang masih menyanjung jasa baktinya.
Sehubungan itu, Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad dan seluruh pegawai merakamkan belasungkawa kepada keluarga Allahyarham khususnya kepada anakandanya yang juga staf UPKN Ahmad Kariemullah, 33.
Allahyarham yang pulang ke rahmatullah akibat serangan jantung itu meninggalkan balu Khamsiah Mat Ali, 58, lima anak dan empat cucu.
0 Comments