Ticker

6/recent/ticker-posts

100 PESARA PENGHULU TERIMA SAGUHATI DARIPADA KERAJAAN NEGERI

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 11 Mac – Seramai 100 pesara penghulu yang menamatkan perkhidmatan pada tahun 2024 menerima saguhati daripada Kerajaan Negeri Kelantan dalam satu majlis rasmi di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, pada Isnin.

Lima daripada penerima telah berkhidmat lebih 30 tahun, termasuk Tan Peri Tan Sulung dari Dewan Negeri Tawang yang mencatat rekod perkhidmatan selama 34 tahun. Beliau menerima saguhati berjumlah RM10,200 berdasarkan kadar RM300 bagi setiap tahun perkhidmatan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi Majlis Penghulu Negeri Kelantan, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pemberian saguhati ini sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan para penghulu kepada kerajaan dan rakyat.

"Hari ini kerajaan menyampaikan sedikit saguhati kepada para penghulu yang bersara pada 2024 sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka dalam berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan. Urus Setia Penghulu turut menghimpunkan mereka sebagai simbolik bahawa hubungan antara kerajaan dan penghulu yang bersara tetap erat," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa imbuhan, gaji dan elaun yang diterima penghulu tidak setimpal dengan tanggungjawab besar yang mereka galas.

"Imbuhan, gaji atau elaun penghulu sebenarnya tidak sepadan dengan tugas mereka. Penghulu merupakan penghubung utama antara rakyat dan kerajaan, serta memainkan peranan penting dalam menjaga imej wakil rakyat dan pentadbiran negeri," jelasnya.

Beliau berharap para pesara penghulu terus menyumbang dengan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka kepada generasi pelapis.

"Mantan penghulu mempunyai kedudukan yang lebih besar kerana mereka memiliki pengalaman luas. Oleh itu, mereka seharusnya mencurahkan ilmu kepada pengganti mereka untuk kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Penghulu Zulkifli Mamat turut merakamkan penghargaan terhadap jasa para penghulu dan pesara penghulu yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi.

"Penghulu sentiasa berada di barisan hadapan dalam mendukung perjuangan kerajaan serta menyampaikan hasrat rakyat. Tugas ini penuh cabaran, namun mereka telah melaksanakannya dengan baik," katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN) serta Ahli-Ahli Majlis, Majlis Penghulu Negeri Kelantan.

Post a Comment

0 Comments