![]() |
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud |
Oleh: Norzana Razaly
TUMPAT, 11 Mac – Program Perkampungan Ramadan di Kelantan memperkukuh nilai kerohanian dalam komuniti, khususnya di Kampung Laut.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata konsep ‘Qaryah Ramadan’ yang diperkenalkan oleh Majlis Daerah Tumpat (MDT) selari dengan pendekatan yang pernah dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menerusi Madinah Ramadan.
Beliau merakam ucapan tahniah kepada MDT atas inisiatif penganjuran program yang diperakuinya mampu memperkukuh nilai dakwah dan penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Katanya, Ramadan adalah bulan yang memuliakan Al-Quran. Masyarakat wajib melazimi bacaan dan tadabbur ayat-ayat suci sebagai mencontohi golongan salaf terdahulu yang hidupnya amat dekat dengan Al-Quran.
“Seperti kata seorang ulama, 'Jika kamu mahu melihat bagaimana rapatnya umat terdahulu dengan Al-Quran, lihatlah bagaimana rapatnya umat hari ini dengan telefon bimbitnya,'" ujarnya ketika merasmikan Program Perkampungan Ramadan MDT siri ke-12 di Laman Warisan Kampung Laut, pada Ahad.
Menurutnya lagi, Ramadan juga perlu dijadikan medan penghayatan solat justeru kebanyakan mereka yang jauh daripada solat akan mengalami keruntuhan akhlak dan ketidaktenteraman jiwa.
“Di Kelantan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program Iqamatu Solat sebagai inisiatif memastikan rakyat menjaga solat," jelasnya.
Sementara itu, Yang Dipertua MDT Mohamad Nazwan Ismail memaklumkan bahawa program kerohanian di lokasi tumpuan pelancong itu adalah anjuran MDT menerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Kebajikan dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Warisan Kampung Laut.
![]() |
Yang Dipertua MDT, Mohamad Nazwan Ismail |
“Pelbagai pengisian rohaniah dan kebajikan telah dirangka, antaranya Tadarus Belia, Haflah dan Tilawah Al-Quran, Program Kongsi Rasa Ramadan, Himpunan Anak Muda Tamu Ramadan serta Majlis Penyampaian Sumbangan Perkampungan Ramadan.
“Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada agensi seperti Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat, Pejabat Halaqat Kawasan Tumpat, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tumpat serta NGO seperti Kelab Beliawanis Tumpat dan Kelab Anak Muda Tumpat,” jelasnya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada para dermawan yang menyumbang kepada Tabung Perkampungan Ramadan.
MDT dan Masjid Warisan Kampung Laut pula bertindak sebagai pemudah cara dalam menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan.
0 Comments