Ticker

6/recent/ticker-posts

MDTM ANJUR QARYAH RAMADAN, PERKUKUH PENGIMARAHAN BULAN MULIA

Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

TANAH MERAH, 4 Mac – Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) melakar sejarah dengan penganjuran Qaryah Ramadan MDTM dan Tadarus Al-Quran buat julung kalinya, sebagai inisiatif memperkukuh pengimarahan bulan mulia dalam kalangan masyarakat setempat.

Sepanjang Ramdan, Qaryah Ramadan MDTM akan menjadi pusat aktiviti ibadah yang diisi dengan slot tazkirah, iftar bersama, solat Maghrib dan Isyak serta tarawih berjemaah yang dijadualkan berlangsung di Padang MDTM.

Inisiatif  tersebut mendapat sokongan semua pihak dalam memastikan kemuliaan Ramadan dimanfaatkan sepenuhnya bagi kesejahteraan umat Islam di jajahan berkenaan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud hadir merasmikan program itu di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah pada Isnin.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada MDTM atas inisiatif penganjuran program berimpak tinggi yang diyakini dapat menyemarakkan semangat Ramadan serta mengukuhkan nilai kebersamaan dalam komuniti.

“Syabas dan tahniah kepada MDTM atas penganjuran Qaryah Ramadan buat pertama kali. Ini merupakan perkembangan positif, dan saya menekankan kepentingan usaha berterusan dalam membawa agenda pembaharuan demi kemajuan jajahan Tanah Merah,” katanya.

Beliau juga mengetuai Program Tadarus Al-Quran sebelum diteruskan dengan sesi berbuka puasa dan solat Maghrib secara berjemaah.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman dan ADN Gual Ipoh YB Bahari Mohamad Nor.




Post a Comment

0 Comments