Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 3 Mac – Bagi memperkukuh usaha menangani gejala sosial di Kelantan, dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengadakan pertemuan strategik di Mabna, semalam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat menerima kunjung hormat Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim bagi membincangkan pendekatan lebih berkesan dalam menangani isu sosial yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dato’ Wan Roslan menegaskan bahawa kerjasama ini diharap dapat membawa manfaat besar kepada rakyat Kelantan serta menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih positif demi kesejahteraan ummah.
Sementara itu, YB Rohani menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai langkah memperhalusi strategi dan memastikan keberkesanan program yang dirangka bagi membendung permasalahan sosial yang semakin berleluasa.
“Kerjasama antara pelbagai pihak amat penting dalam merangka dasar serta inisiatif yang lebih holistik demi kesejahteraan masyarakat. Semoga usaha ini membawa impak besar kepada rakyat Kelantan dan menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih positif, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman sosial pada Ahad.
Turut hadir, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (U-KeKWa), Ilvira Mohd Dasuki.
0 Comments