Ticker

6/recent/ticker-posts

KEADILAN ISLAM PENYELESAIAN KEMELUT UMMAH – MB KELANTAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 3 Mac – Hanya keadilan Islam bersumberkan wahyu mampu menjadi penyelesaian tuntas kepada kemelut ummah yang semakin rencam, termasuk serangan pemikiran, keruntuhan akhlak dan belenggu kejahilan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, menegaskan bahawa umat Islam perlu kembali bersatu di bawah naungan al-Quran yang merupakan petunjuk bagi mereka yang bertakwa.

Beliau mengingatkan bahawa sejak awal penciptaan, manusia hidup dalam keadaan harmoni berpandukan hidayah Allah SWT, sebagaimana diceritakan dalam sejarah Nabi Adam a.s dan Nabi Nuh a.s.

Menurutnya, Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa tempoh antara Nabi Adam a.s dan Nabi Nuh a.s adalah 10 kurun, umat manusia pada ketika itu masih berpegang teguh kepada syariat yang benar.

“Namun, apabila berlaku perpecahan dan penyimpangan, Allah SWT mengutuskan para nabi sebagai pembawa berita gembira serta pemberi peringatan untuk mengembalikan ummah kepada jalan kebenaran,” jelasnya menerusi Bingkasan Ramadan Juzuk 2.

Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 213 yang bermaksud: 

"Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran…"

Dato’ Nassuruddin menegaskan bahawa umat Islam perlu menggembleng usaha untuk memasyarakatkan al-Quran agar kehidupan kembali berpandukan hidayah Allah SWT. Sebagai pemimpin, keyakinan yang utuh terhadap keadilan Islam sebagai solusi kepada permasalahan ummah perlu terus diperkukuh.

"Hanya dengan kembali kepada al-Quran dan sunnah, umat Islam mampu membina kembali kesatuan dan keteguhan akidah dalam menghadapi cabaran zaman," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments