Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 3 Mac – Bermula hari pertama Ramadan, umat Islam diingatkan tentang peranan mereka sebagai khalifah di bumi sebagaimana saranan al-Quran.
Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menerusi Bingkisan Ramadan Juz 1, menekankan kepentingan mentadbir kehidupan berpandukan Wawasan Allah.
Mesej berkenaan berasaskan Surah al-Baqarah yang menjadi pembuka juz pertama al-Quran dan dikenali sebagai as-Sinām iaitu kemuncak panduan kehidupan berlandaskan prinsip Manhaj Rabbani.
Menurut Dato’ Nassuruddin, sejarah umat terdahulu, termasuk kisah Bani Israel yang ingkar walaupun menerima pelbagai nikmat, wajar dijadikan iktibar.
Sebaliknya, Nabi Ibrahim AS muncul sebagai contoh pemimpin unggul yang menzahirkan kepimpinan berpandukan Manhaj Rabbani, melaksanakan amanah tanpa kompromi terhadap ajaran Allah SWT.
"Setiap individu adalah khalifah, sama ada dalam keluarga, masyarakat mahupun organisasi. Oleh itu, kepimpinan yang berlandaskan Wawasan Allah harus dijadikan teras dalam setiap aspek kehidupan," tegasnya.
Beliau berharap Bingkisan Ramadan yang dikongsi setiap hari pada sepanjang bulan mulia ini menjadi pedoman dalam menghayati al-Quran serta memperkukuh nilai kepimpinan berteraskan wahyu Ilahi.
0 Comments