Ticker

6/recent/ticker-posts

GOLONGAN OKU DISARAN MENGHAFAZ AL-QURAN

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA BHARU, 11 Mac – Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), khususnya yang cacat penglihatan, disaran menghafaz al-Quran agar lebih dekat dengan Allah SWT sebagai golongan muqarrabun (yang hampir kepada-Nya).

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata individu cacat penglihatan dikurniakan keistimewaan tertentu, termasuk daya ingatan yang kuat yang boleh dimanfaatkan untuk menghafaz al-Quran.

"Setiap insan diberi kelebihan oleh Allah SWT, dan bagi golongan OKU cacat penglihatan, mereka dianugerahkan ingatan yang luar biasa. Gunakanlah keistimewaan ini untuk menghafaz al-Quran agar menjadi golongan muqarrabun yang sebenar.

"Namun, ada dalam kalangan kita yang kurang bijak memanfaatkan kelebihan ini, sebaliknya lebih cenderung mengajar mereka menyanyi atau bermain kugiran. Kita berharap masyarakat lebih peka dalam memberi sokongan dan dorongan kepada golongan ini untuk menghafaz al-Quran. Mereka juga lebih mudah menghafaz kerana tidak terbeban dengan dosa mata, berbanding orang yang celik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mahabbah Ramadan dan Berbuka Puasa OKU Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), pada Isnin.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Rohani Ibrahim memaklumkan bahawa jumlah OKU di Kelantan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini mencecah 53,000 orang.

"Alhamdulillah, ini menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan keluarga yang mempunyai ahli OKU tentang kepentingan pendaftaran.

"Melalui pendaftaran, mereka berpeluang menerima pelbagai bantuan dan sokongan yang disediakan. Berbanding 20 tahun lalu, masyarakat sekarang lebih terbuka untuk mendaftar ahli keluarga mereka yang OKU.

"Dulu, ia satu perkara yang sukar dibincangkan, tetapi hasil kesungguhan semua pihak dalam memberi penerangan, kini mereka lebih bersedia untuk tampil secara sukarela," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.

Dalam program itu, lebih 500 OKU pelbagai kategori diraikan dan menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Kelantan, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan istimewa ini selaras dengan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

Menteri Besar turut mengimamkan solat Asar berjemaah bersama golongan OKU sebelum majlis berlangsung.

Turut hadir, Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Nor Asilah Mohamed Zin, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN), Penyelia Dewan Negeri, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Ilvira Mohd Dasuki dan Yang Dipertua Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK), Osman Omar.

Dalam perkembangan lain, YB Rohani Ibrahim mengumumkan bahawa permohonan Skim Bantuan Pesakit Kanser Payudara Kelantan 2025, Tabung Usahawan Wanita 2025 dan Skim Cakna Suri 2025 kini dibuka.

Tarikh tutup permohonan bagi setiap skim adalah seperti berikut: Skim Bantuan Pesakit Kanser Payudara Kelantan – 30 April 2025, Tabung Usahawan Wanita – 24 April 2025 dan Skim Cakna Suri – 27 Mac 2025.

Permohonan boleh dibuat melalui agensi berkaitan bagi memastikan golongan yang layak menerima manfaat sepenuhnya daripada bantuan yang disediakan.





Post a Comment

0 Comments