SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap dapat melahirkan lebih ramai golongan OKU penglihatan menjadi hafiz al-Quran.
Menteri Besar Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan menyediakan lebih banyak inisiatif dan peluang pembelajaran kepada mereka.
Menurutnya, pendidikan agama dalam kalangan OKU penglihatan akan diperkasakan bagi memastikan mereka mendapat manfaat yang sama seperti individu normal.
“Kita tidak mahu mereka dipinggirkan dalam arus pendidikan Islam. Mereka sepatutnya menjadi hafiz al Quran dan kita perlu membantu mereka ke arah itu,” katanya pasa Majlis Mahabbah Ramadan bersama 600 di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa di sini petang semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Rohani Ibrahim dan wakil-wakil rakyat.
Menteri Besar berkata, golongan OKU penglihatan mempunyai kelebihan luar biasa menghafal al-Quran kerana mereka tidak terdedah kepada ‘dosa mata’.
Katanya, Allah Taala mengurniakan keistimewaan kepada golongan terbabit dengan daya ingatan yang lebih kuat, membolehkan mereka menghafal al-Quran hanya dengan mendengar sekali sahaja.
“Mereka tidak mempunyai dosa mata, justeru hati lebih bersih dan sebab itu, mereka lebih mudah menghafal al-Quran berbanding orang celik," ujarnya.
Menurutnya juga dalam masyarakat Arab khususnya di Mesir, hafalan al-Quran dijadikan syarat wajib bagi mereka yang ingin mendalami ilmu syariah.
Tambahnya, ia berbeza dengan masyarakat Melayu yang masih belum menekankan aspek itu secara menyeluruh.
Sementara itu Rohani berkata, berdasarkan statistik sehingga 31 Disember 2024, Kelantan merekodkan seramai 4,527 individu dalam kategori OKU penglihatan daripada keseluruhan 52,968 OKU yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat di negeri itu.
Menurutnya, usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan pendidikan agama dalam kalangan mereka diharap dapat meningkatkan lagi jumlah hafiz al-Quran dalam golongan istimewa tersebut.
0 Comments