Ticker

6/recent/ticker-posts

Gotong royong bina musalla selepas tarawih



SALMAH MAT HUSAIN

RANTAU PANJANG: Selepas solat tarawih penduduk Kampung Tasek Tandak meneruskan kerja-kerja pembinaan sebuah musalla sehingga jam 1 pagi setiap malam.


Penduduk menjalankan kerja-kerja pembinaan secara gotong-royong demi merealisasikan harapan untuk menggunakannya bagi solat sunat Aidilfitri tidak lama lagi.


Setiausaha musalla berkenaan Mohd Hushairie Mohd Sakri berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 hingga RM180,000 masih diperlukan bagi menyiapkan keseluruhan pembinaan musalla yang dianggar melibatkan kos hampir RM200,000.


Katanya, sehingga kini, hampir RM50,000 dibelanjakan hasil sumbangan orang ramai sejak kerja-kerja pembinaan dimulakan.


“Selain mengupah tukang pada hari Ahad hingga Khamis, kami turut mengadakan gotong-royong bersama penduduk kampung setiap Jumaat dan Sabtu,” katanya di sini. 


Kata beliau, usaha itu dilakukan kerana musalla tersebut merupakan satu-satunya tempat ibadah yang terdapat di kampung berkenaan dan menjadi keperluan masyarakat setempat.


“Kalau hari biasa sebelum ini selepas solat Isyak, kami terus sambung kerja gotong-royong untuk siapkan musalla,” tambahnya.


Menurutnya musalla tersebut dijangka dapat digunakan dua hari sebelum Aidilfitri khususnya di tingkat atas, sebagai ruang sementara untuk solat  memandangkan bahagian bawah masih belum siap sepenuhnya.



Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff turut membantu mencari dana bagi pembinaan musalla tersebut menerusi siaran langsung di Facebooknya baru-baru ini.


Beliau melahirkan rasa syukur apabila ramai pihak mula tampil menyumbang hanya sehari selepas siaran langsung itu dibuat.


Musalla berkenaan sebelum ini juga pernah dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa banjir.


Sementara itu orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad 03 027 01-0067907 atas nama (Pasti AnNur Tasek Tandak).


Atau boleh hubungi talian 0111 7900249 (Mohd Hushairie).

Post a Comment

0 Comments