Ticker

6/recent/ticker-posts

HADHANAH ATFAL CERIA DENGAN AKTIVITI INTERAKTIF

Oleh: Norzana Razaly 

KOTA BHARU, 8 Mac – Program Ikonik Kelantan, Madinah Ramadan 1446H/2025M terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah dengan menyediakan sudut Hadhanah Atfal yang dikhususkan untuk anak-anak jemaah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata ruang khas tersebut ialah tempat jagaan sementara bagi anak-anak jemaah yang menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawih di Madinah Ramadan. 

"Bagi memberikan keselesaan kepada para pengunjung untuk menunaikan solat tarawih dan menyertai program di Madinah Ramadan, pihak urus setia menyediakan ruang penjagaan khas dikenali sebagai Hadhanah Atfal. 


"Ruang ini diisi dengan pelbagai aktiviti pendidikan, termasuk sesi mewarna bertemakan Palestin dan program interaktif bersama Amilat yang telah dilantik oleh urus setia.

"Ruang ini juga dikendalikan sepenuhnya oleh para Amilat yang bertugas bagi memastikan anak-anak berada dalam suasana yang selesa dan selamat," jelasnya ketika dihubungi, hari ini. 

Menariknya, khemah Hadhanah Atfal tahun ini telah dilengkapi dengan sistem penghawa dingin bagi memberi keselesaan maksimum kepada kanak-kanak.


Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disusun sepanjang mereka berada di ruang ini, termasuk aktiviti pembelajaran interaktif dan permainan yang membina sahsiah serta daya kreativiti mereka.

"Setakat 6 Mac, Hadhanah Atfal mencatat kehadiran 40 ibu bapa menyerah amanah penjagaan 60 anak-anak mereka kepada petugas yang berpengalaman.

Kepercayaan yang diberikan itu mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap sistem penjagaan dan pendidikan yang disediakan di Madinah Ramadan," jelas YB Hilmi lagi.

Post a Comment

0 Comments