Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 2 Mac – Sebagai bulan yang diturunkan al-Quran dan diangkat sebagai madrasah tarbiah serta pembersihan jiwa, Ramadan 1446H disambut dengan azam memperkukuh penghayatan syariat dan agenda islah bagi kesejahteraan ummah.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud di dalam perutusannya menekankan kepentingan menjadikan Ramadan sebagai wadah penyucian diri dan pemantapan takwa.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmen berterusan dalam memasyarakatkan al-Quran dengan melaksanakan program Tadarus al-Quran Negeri Kelantan yang memasuki tahun ke-33 penganjurannya.
"Berlandaskan tema al-Islah, teks tadarus kali ini dipetik daripada Surah Hud, ayat 116 hingga 120, yang menyeru umat agar bangkit memperjuangkan kebenaran dan mempertahankan syariat Islam," katanya.
Menurutnya lagi, Ramadan ialah masa terbaik untuk kita memperbaiki diri dan meneladani kisah-kisah para nabi sebagai pedoman dalam kehidupan. Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi difahami dan diamalkan.
Dalam menghayati keistimewaan Ramadan, Dato’ Mohd Nassuruddin turut mengingatkan bahawa puasa mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya sebanyak sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda, kecuali puasa, kerana ia adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku." (Riwayat Muslim)
Dengan keistimewaan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Kelantan untuk mengambil peluang menambah amalan soleh, memperbanyakkan doa serta berusaha menjadi insan yang lebih bertakwa.
Mengakhiri perutusan, beliau menyeru agar Ramadan kali ini dimanfaatkan sepenuhnya sebagai ruang untuk muhasabah, memperkukuh ukhwah, dan menanam iltizam dalam perjuangan Islam.
"Semoga Ramadan 1446H membawa keberkatan kepada seluruh rakyat Kelantan dan menjadi medan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT, mengukuhkan persaudaraan dan memperjuangkan kebaikan di dunia serta akhirat," katanya.
0 Comments