Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN BANGUNKAN SENDIRI KB SENTRAL, BEROPERASI 2027

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 13 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan memutuskan untuk membangunkan sendiri projek KB Sentral selepas rundingan dengan syarikat Perak Transit tidak mencapai kata sepakat.

Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual, seiring dengan pembukaan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 2027.

"Pihak kerajaan negeri telah mengadakan rundingan dengan Perak Transit minggu lalu, namun terdapat permintaan daripada syarikat tersebut yang tidak dapat dipenuhi.

"Perak Transit memang berkemampuan dan berpengalaman, tetapi berhadapan dengan kekangan masa dan beberapa faktor lain.

"Justeru, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk membangunkan sendiri KB Sentral bagi memastikan ia dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Mabna, pada Rabu.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh menangguhkan lagi pelaksanaan projek itu setelah sekian lama berbincang dengan Perak Transit.

"Keputusan ini dibuat selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan KB Sentral siap dan beroperasi menjelang 2027, serentak dengan ECRL.

"Oleh itu, tiada keperluan untuk terus berunding lebih lama dengan Perak Transit," jelasnya.

Menurutnya lagi, kontraktor bagi projek berkenaan masih belum diputuskan dan perlu melalui beberapa prosedur sebelum pelantikan dibuat.

Sementara itu, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin diberi tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan projek tersebut.

Post a Comment

0 Comments