Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 12 Mac – Video tular yang memaparkan tindakan penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyita gerai peniaga di Lembah Sireh merupakan rakaman lama yang disebarkan semula.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Komoditi Kelantan YB Hilmi Abdullah berkata insiden tersebut berlaku sekitar tahun 2021 atau 2022, namun kembali ditularkan menerusi platform TikTok dan Facebook, sedangkan lokasi berkenaan kini telah berubah menjadi kawasan bazar Ramadan dan Aidilfitri.
"Kejadian tersebut sebenarnya berlaku sekitar tahun 2021 atau 2022 iaitu selepas COVID-19.
"Kini, lokasi tersebut di hadapan Lotus telah berubah wajah, menjadi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri. Jika kita pergi hari ini, kawasan itu penuh dengan bazar Ramadan dan menjadi lokasi utama berbuka puasa bagi warga Kota Bharu," katanya selepas Mesyuarat Exco di Mabna, hari ini.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam penyebaran maklumat tidak benar yang boleh mencetuskan kekeliruan.
"Kita elakkan daripada menjadi penyebab bertambahnya dosa di bulan Ramadan ini. Jangan terlibat dengan fitnah dan penyebaran berita yang tidak benar.
"Saya juga memohon agar rakyat menilai fakta sebenar dan tidak mudah percaya terhadap sesuatu yang diviralkan tanpa menyemak kesahihannya," ujarnya.
Dalam pada itu, YB Hilmi turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Peniaga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kita tidak benarkan gerai dibuka secara sesuka hati, khususnya di atas rizab jalan.
"PBT telah menyediakan lokasi khas bagi peniaga berlesen, bagi memastikan kawalan kebersihan, kesihatan serta lalu lintas dapat dipantau dengan lebih baik. Ini juga bagi memastikan penduduk dapat mendapatkan juadah berbuka puasa di tempat yang telah ditetapkan," katanya.
0 Comments