Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN LANCAR PROGRAM RAKAN MUDA AL-QURAN

Oleh: Asri Hamat

MACHANG, 23 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BES) melancarkan Program Rakan Muda al-Quran yang dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad di Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tok Bok, Machang, pada Sabtu.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Zamakhshari berkata, pelancaran program ini sejajar dengan agenda "Kelantan Future State 2033" yang bertujuan melahirkan generasi muda yang "qawiyyu amin".

"Malam ini kita melancarkan Program Rakan Muda al-Quran bagi membentuk generasi muda yang memahami, menghayati, dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian.

"Melalui program ini, kerajaan negeri berhasrat melahirkan anak muda yang bukan sekadar mampu menghafaz dan membaca al-Quran, tetapi juga memahami isi kandungannya serta mengaplikasikannya dalam pelbagai bidang kehidupan seperti pendidikan, sukan, perniagaan, dan pertanian," katanya.

Tambah beliau, golongan muda adalah tonggak kepimpinan masa depan dan perlu dipersiapkan dengan ilmu, akhlak serta falsafah kepimpinan.

"Tidak memadai sekadar menjadi penghafaz dan pembaca al-Quran yang baik, sebaliknya mereka juga perlu memiliki ilmu, akhlak, serta keterampilan kepimpinan yang jelas.

"Kita mahu anak muda berperanan dalam pelbagai sektor seperti politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan yang berlandaskan roh Islam yang syumul, bukan sekadar menjadi pemerhati," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah U-BES Mohamad Kamal Mohamed dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa penganjuran Program Anak Muda Tamu Ramadan 2025 bertujuan menyemarakkan semangat anak muda untuk membaca, memahami, dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian.

"Kerajaan negeri melalui U-BES berusaha menggalakkan generasi muda agar menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan serta mempertahankan dan memartabatkannya," katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh dan Timbalan Pengarah U-BES Firdaus Nawi.


Post a Comment

0 Comments