Oleh: Wan Sharafi Wan Mustafa dan Norzana Razaly
Kredit foto: Page FB Madinah Ramadan MPKB-BRI
Fasa 1: Penerusan Program di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV (2005-2006)
Memasuki dekad 2000-an, program Ihya’ Ramadan di Kota Bharu terus mengalami transformasi yang ketara, mencerminkan usaha berterusan dalam memperkasa syiar Islam. Pada tahun 2005 dan 2006, perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV menjadi saksi kepada kelangsungan aktiviti kerohanian yang lebih menyeluruh.
Khemah-khemah yang didirikan bukan sekadar berfungsi sebagai tempat solat berjemaah, tetapi turut menjadi pusat pelbagai aktiviti keagamaan yang memperkayakan pengalaman Ramadan masyarakat setempat.
Sepanjang dua tahun ini, program Ihya’ Ramadan diperkukuhkan dengan pengisian yang lebih komprehensif, antaranya; Majlis Tazkirah dan Forum Ilmiah – Perbincangan yang menampilkan tokoh-tokoh agamawan tempatan, membincangkan isu-isu semasa dari perspektif Islam.
Ceramah Ramadan – Penyampaian ilmu yang menekankan nilai-nilai penghayatan ibadah sepanjang bulan yang mulia.
Maidatur Rahman pula ialah sebuah khemah khas yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan makanan sebelum diagihkan kepada masyarakat untuk berbuka puasa dan moreh. Inisiatif ini membuka ruang kepada golongan dermawan untuk menyumbang makanan, sekali gus memperkukuhkan budaya sedekah dan solidariti sosial dalam kalangan umat Islam.
Pada fasa ini, infrastruktur yang tersedia masih bersifat sederhana dengan khemah terbuka yang dilengkapi kipas besar. Namun, penambahbaikan mula dilakukan dengan pemasangan platform untuk solat serta penyediaan kipas pancutan air di saf hadapan demi meningkatkan keselesaan jemaah.
Tahun 2007: Era Khemah Berhawa Dingin
Tahun 2007 menyaksikan lembaran baharu dalam sejarah program apabila Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan yang signifikan contohnya penggunaan Khemah ‘Marquee Tent’ yang berhawa dingin diperkenalkan bagi menampung sehingga 1,800 jemaah pada satu masa, menjadikan suasana ibadah lebih selesa dan kondusif.
Seterusnya, kewujudan Dataran Warisan sebagai identiti baharu Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV untuk meningkatkan prestij lokasi tersebut sebagai pusat aktiviti Ramadan. Dilengkapi dengan penubuhan Pasukan Sukarelawan Bandar Raya Islam yang khusus bagi memastikan kelancaran penganjuran program.
Di bawah kepimpinan YB Dato’ Takiyuddin Hasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan ketika itu, program ini terus diperkasa sebagai salah satu inisiatif unggul Kota Bharu dalam memartabatkan Ramadan sebagai bulan penghayatan ibadah.
Struktur organisasi program ini diatur dengan sistematik, diterajui oleh Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Negeri, serta disokong oleh barisan kepimpinan MPKB-BRI, ahli-ahli majlis, wakil agensi negeri dan persekutuan. Jabatan Pembangunan Islam (JPI) memainkan peranan sebagai urus setia utama, memperlihatkan sinergi yang mantap antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat.
Tahun 2008: Permulaan Era Qaryah Ramadan dan Imam dari Mesir
Tahun 2008 menandakan satu lagi fasa penting dalam perkembangan program ini. Kapasiti khemah solat tarawih diperluas sehingga mampu menampung kapasiti 2,800 jemaah pada satu masa.
Lebih istimewa, buat pertama kali MPKB-BRI mengundang imam-imam tahfiz dari Mesir seperti Syeikh Ahmad Rejab Al-Fayyumi dan Syeikh Abdurrahman Al-Muknis untuk memimpin solat tarawih.
Tindakan bernas ini memberikan pengalaman ibadah luar biasa kepada makmum seolah-olah mereka berada seperti berjamaah di haramain (Mekah dan Madinah) lantaran lenggok bacaan al-Quran yang memukau dan menyentuh jiwa pendengar. Keunikan bacaan mereka terletak pada tarannum yang indah dan pada fasahah (kejelasan sebutan) serta keunikan lahjah (slang).
Pada tahun ini juga, nama Qaryah Ramadan diperkenalkan secara rasmi atas cetusan idea YB Dato’ Takiyuddin Hasan. Istilah ini membawa falsafah yang mendalam, sejajar dengan wawasan al-Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz yang menekankan perubahan paradigma dalam memahami Ramadan.
Al-marhum Tok Guru Nik Aziz juga menyarankan masyarakat melazimi menyebut bulan Ramadan menggantikan kebiasaan orang memanggil “bule poso” (bulan puasa) bagi menghayati secara mendalam keistimewaan bulan barakah ini yang sekadar bulan menahan lapar dan dahaga. Sebaliknya, Ramadan diangkat sebagai madrasah tarbiyah yang mendidik jiwa, mengukuhkan ilmu, dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
Sempena pelancaran nama baharu ini, tema “Ihya’ Ramadan di Serambi Mekah” turut diperkenalkan sebagai refleksi aspirasi Kota Bharu sebagai pusat syiar Islam yang tersohor di rantau ini.
Dalam usaha menambah nilai kepada program, konsep Pelancongan Ibadah (Ibadah Tourism) juga diperkenalkan selari dengan Tahun Melawat Kelantan yang menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Malaysia, Thailand dan Brunei.
Fenomena luar biasa turut tercetus apabila terdapat pengunjung dari Kuala Lumpur yang sanggup berulang-alik dengan penerbangan setiap hari semata-mata untuk menunaikan solat di Madinah Ramadan.
Tahun 2008 juga menyaksikan penubuhan rasmi Pasukan Sukarelawan Amilin dan Amilat, terdiri daripada pelajar sekolah dan belia yang berperanan membantu kelancaran penganjuran program.
Penyertaan golongan muda dalam program ini berjaya membangkitkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat dan menyemai nilai kepimpinan dan keprihatinan sosial yang tinggi dalam diri generasi akan datang.
Bersambung…
0 Comments