Ticker

6/recent/ticker-posts

PEMIMPIN, KOMUNITI CINA PERANAKAN GANDING BAHU BUKA JALAN ALTERNATIF

Oleh: Norzana Razaly

TANAH MERAH, 22 Mac – Menyedari kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan, Ahli Dewan Negeri Gual Ipoh YB Bahari Mohamad Nor mengambil inisiatif membuka jalan alternatif yang menghubungkan Kota  Harmoni ke Pekan Kusial.

Usaha tersebut dilaksanakan secara gotong-royong bersama komuniti Cina Peranakan tempatan yang memiliki peralatan jentolak.

Jalan baharu tersebut dinamakan sebagai Tanah Merah Waterfront.

Menurut YB Bahari, walaupun jalan alternatif berkenaan belum siap sepenuhnya, penduduk setempat sudah menyatakan hasrat untuk menggunakannya.

Beliau menjelaskan bahawa pengguna boleh menggunakan jalan tersebut sehingga ke Kampung Kenerak buat sementara waktu,   memandangkan pihak polis akan menutup jalan turun ke Putra Valley semasa musim perayaan, yang berpotensi menyebabkan kesesakan teruk di jalan berhampiran landasan kereta api atau persisiran Kolej Vokasional.

"Menyedari kepentingan jalan yang sedang dirintis ini, saya berharap pihak berwajib dapat membantu menyiapkan jambatan muara Sungai Kenerak agar pengguna jalan raya dapat terus ke Pekan Kusial.

"Infrastruktur ini sangat membantu mengurangkan kesesakan di lampu  isyarat Kampung Batu Hitam dan berpotensi menjana ekonomi bagi Kota Harmoni dan Pekan Kusial," jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, jalan alternatif itu bakal menjadi salah satu laluan yang menghubungkan Gual Ipoh dengan daerah di selatannya.

Sementara itu, penduduk setempat memuji tindakan bijaksana dan keprihatinan pemimpin tersebut.

Dasuki Roni, dalam komennya di media sosial berterima kasih kepada YB Bahari kerana memudahkan penduduk ke bandar baharu tanpa perlu menghadapi kesesakan semasa musim perayaan.



Post a Comment

0 Comments