![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 13 Mac – Kelantan melangkah ke hadapan dalam memperkasa kebajikan Orang Asli dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kebajikan Orang Asli, bertujuan menangani isu-isu berkaitan komuniti tersebut secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata jawatankuasa ini akan diterajui oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad, bagi memastikan keperluan serta hak Orang Asli di negeri ini lebih terpelihara.
“Di peringkat Persekutuan sudah ada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), jadi di peringkat negeri kita tubuhkan jawatankuasa ini bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela. Kita juga berharap dapat menjalinkan kerjasama erat dengan JAKOA dalam hal ini,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Mabna, pada Rabu.
Menurut beliau, pendekatan langsung dengan komuniti Orang Asli amat penting agar kerajaan negeri dapat memahami keperluan sebenar mereka tanpa bergantung kepada pihak ketiga.
“Kerajaan mahu mendengar sendiri suara Orang Asli, bukan melalui orang ketiga yang mungkin mempunyai agenda tersendiri. Sebab itu, kita mengharapkan perbincangan secara terus dengan mereka supaya sebarang tindakan yang diambil benar-benar berasaskan keperluan dan kehendak mereka sendiri,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, ketika diminta mengulas mengenai cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pertengahan tahun depan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan mengambil pendekatan berhati-hati.
“Kita akan melihat secara terperinci dahulu. Sekiranya pindaan itu membawa kebaikan kepada Orang Asli di Kelantan, kita akan menyokong melalui Ahli-Ahli Parlimen kita di Dewan Rakyat,” ujarnya.
0 Comments