Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 17 Mac – Kepimpinan yang cekap dan berintegriti adalah kunci utama dalam menjamin kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd. Nassuruddin Daud menegaskan hal demikian menerusi Bingkisan Ramadan Juz 13 pada Jumaat.
Beliau menyeru masyarakat meneladani kisah Nabi Yusuf A.S. yang diberi kepercayaan sebagai Bendahara Mesir.
Katanya, dengan perancangan teliti dan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh, baginda berjaya mengurus sumber negara khususnya dalam menghadapi kemarau.
Memetik Surah Yusuf, ayat 55, beliau menekankan bahawa Allah SWT menggariskan dua sifat utama yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin.
Pertama, menjaga amanah (hafiz) yakni mampu memelihara tanggungjawab dengan baik. Manakala kedua, berpengetahuan (alim) iaitu mmpunyai kepakaran serta kefahaman dalam bidang yang diamanahkan.
"Kedua-dua sifat ini menjadi asas kepada pengurusan yang cekap. Pemimpin yang berintegriti dan berilmu akan mampu membuat keputusan tepat, merancang strategi berkesan, serta memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara," jelasnya.
Tambahnya, untuk mencapai pentadbiran yang berkualiti, seseorang pemimpin harus melengkapkan diri dengan sifat hafiz dan alim yang membawa perubahan positif dalam organisasi serta masyarakat.
0 Comments