Ticker

6/recent/ticker-posts

Ramai lelaki habiskan masa di kedai kopi

 


Oleh Ahmad Hazman Ali

BULAN Ramadan sering dikaitkan dengan perubahan—perubahan rohani, fizikal dan juga rutin harian. Namun,  nampaknya masih sukar untuk berubah dalam sesetengah keluarga.


Pembahagian tugas dalam rumah tangga masih menjadi isu. Masih ramai lelaki menghabiskan waktu petang di kedai kopi menunggu berbuka, sementara isteri sibuk di rumah menguruskan anak-anak, memasak, dan menyelesaikan kerja rumah.


Mungkin ada yang berfikir, "Aku dah keluar bekerja, beras aku beli." Tapi hakikatnya, kerja rumah dan menjaga anak juga bukan tugas mudah. Apatah lagi di bulan Ramadan, ketika tenaga semakin berkurang. 


Inilah masanya untuk bapa mengambil sedikit inisiatif dan menunjukkan kepimpinan bukan hanya di luar rumah, tetapi juga dalam rumah tangga sendiri.



Rasulullah SAW pemimpin keluarga 


Dalam Hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim, Aisyah r.a. pernah ditanya oleh seorang lelaki bernama Al-Aswad bin Yazid mengenai apa yang Rasulullah SAW lakukan ketika berada di rumah. 


Aisyah r.a. menjawab Baginda sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Namun, apabila tiba waktu solat, baginda akan segera keluar untuk menunaikannya.


Sebagai seorang suami dan pemimpin keluarga, Rasulullah SAW bukan sahaja memberi nafkah dan bimbingan kepada isteri-isterinya, tetapi juga terlibat secara langsung dalam urusan rumah tangga. 


Baginda membantu memasak, mengemas rumah, dan membasuh pakaian. Malah, Rasulullah SAW pernah menjahit sendiri kasut yang koyak. 


Ini membuktikan kerja rumah bukanlah tanggungjawab wanita semata-mata, tetapi sesuatu yang boleh dikongsi bersama sebagai tanda kasih sayang dan tanggungjawab dalam keluarga.


Sikap Rasulullah SAW sepatutnya menjadi teladan bagi semua lelaki. Konsep layan diri atau Do It Yourself (DIY) yang sering dikaitkan dengan masyarakat Barat sebenarnya telah lama menjadi sebahagian daripada sunnah Nabi. 


Rasulullah SAW mengajar kita seorang lelaki sejati bukan diukur melalui kekuatan fizikal atau dominasi dalam rumah tangga, tetapi melalui akhlaknya yang baik, terutama terhadap isterinya.


Seperti yang disebut dalam satu hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:


"Orang beriman yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling baik akhlaknya adalah orang yang paling baik terhadap isterinya." (Riwayat At-Tirmidzi)


Soal kesefahaman


Apa yang disenaraikan di sini bukanlah ketetapan khusus tentang apa yang lelaki mesti buat. Setiap rumah tangga ada dinamik tersendiri, dan tugas siapa buat apa boleh dibincangkan dengan baik antara suami dan isteri. 


Ada pasangan yang selesa suami memasak, ada yang lebih suka isteri yang mengurus dapur sementara suami mengurus anak-anak. Apa yang penting ialah adanya kesefahaman dan sikap give and take.


Namun, hakikatnya kebanyakan kerja rumah masih sama-memasak, mengemas, menjaga anak, dan sebagainya. Jadi, daripada membiarkan semua itu dibebankan sepenuhnya kepada isteri, apa salahnya kalau suami turut serta.


Antara perkara boleh dilakukan para bapa sepanjang Ramadan


✅ Membantu menyediakan juadah berbuka – Tak semestinya memasak, tetapi boleh tolong susun meja, potong bahan, atau sekadar teman isteri di dapur supaya dia tak rasa terbeban seorang diri.


✅ Menjaga anak-anak – Bagi ruang pada isteri untuk berehat atau beribadah tanpa gangguan. Kalau anak kecil menangis, jangan terus serah balik pada isteri. Cuba tenangkan dahulu.


✅ Bersama-sama dalam ibadah – Solat berjemaah, membaca al-Quran dengan anak-anak, ajak mereka buat aktiviti keagamaan supaya mereka pun rasa Ramadan itu istimewa.


✅ Ambil alih kerja rumah tertentu – Mungkin boleh ambil tugas cuci pinggan selepas berbuka atau kemas ruang tamu. Yang penting, ada rasa tanggungjawab bersama.


Ramadan masa untuk berubah


Ramadan adalah bulan untuk membentuk tabiat yang lebih baik. Kalau selama ini tugas rumah tangga lebih berat sebelah, inilah peluang untuk mengubahnya. 



Jangan tunggu isteri penat atau terpaksa bersuara baru nak bertindak. Sebaliknya, ambil inisiatif dan tunjukkan bahawa sebagai suami dan bapa, kita benar-benar peduli.


Budaya "melepak tunggu berbuka" sementara isteri bertungkus-lumus di rumah perlu diubah. Kepimpinan dalam keluarga bukan sekadar mencari rezeki atau memberi nasihat, tetapi juga dalam menunjukkan teladan melalui tindakan. 


Jika benar-benar ingin menjadikan Ramadan sebagai bulan perubahan, biarlah perubahan itu bermula dalam rumah kita sendiri. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik. Maka sebagai umatnya, mengapa kita tidak mencontohi Baginda dalam soal ini.


# Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Insan KIAS

Post a Comment

0 Comments