Ticker

6/recent/ticker-posts

PROGRAM TERNAKAN AYAM PENELUR PERKASA WANITA DALAM SEKTOR PENTERNAKAN

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 16 Mac – Program Penternakan Ayam Penelur Muslimah Tani Al-Falah berpotensi meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor pertanian dan penternakan serta menjana ekonomi keluarga.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata program ini bukan sahaja membuka peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan tetapi turut memperkasakan mereka dalam sektor pertanian.

"Program ini bertujuan meningkatkan keterlibatan wanita dalam penternakan ayam penelur di rumah. Ia sekali gus membantu menjana pendapatan dan menyumbang kepada perkembangan industri penternakan ayam penelur," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Kelantan menyokong penuh inisiatif ini dengan menyediakan latihan, bimbingan, serta khidmat kesihatan haiwan ternakan bagi memastikan kejayaan para peserta.

"Diharapkan lebih ramai wanita dapat melibatkan diri dalam penternakan moden dan memanfaatkan peluang yang diberikan," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi turut menyuarakan sokongan terhadap program tersebut menerusi hantaran di laman sosialnya.

Menurutnya, program berkenaan merupakan langkah proaktif dalam memperkasakan ekonomi wanita serta membantu menjana sumber pendapatan keluarga.

"Semoga program ini memberi manfaat berpanjangan kepada golongan Muslimat dan menjadi titik tolak kepada lebih banyak lagi inisiatif pembangunan ekonomi wanita pada masa hadapan," ujarnya.

Terdahulu, Dato' Tuan Mohd Saripudin dan Dato' Mumtaz menghadiri Majlis Penyerahan Reban Ayam Penelur anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan di Dewan Markaz Dewan Ulamak (MADU), Machang pada Sabtu.

Dalam majlis tersebut, seramai 14 suri rumah  telah menerima sumbangan reban ayam penelur sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan peranan wanita dalam sektor penternakan.



Post a Comment

0 Comments