Ticker

6/recent/ticker-posts

MADINAH RAMADAN: EVOLUSI SYIAR ISLAM DI KOTA BHARU

Oleh: Wan Sharafi Wan Mustafa dan Norzana Razaly

Ketika senja memayungi langit Kota Bharu, suasana Ramadan yang penuh keberkatan mulai terasa di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV. Para pekerja gigih menyiapkan khemah-khemah besar, manakala di Medan Ilmu, tabung derma mula digerakkan.

Para sukarelawan dan petugas berusaha melengkapkan persiapan terakhir. Orang ramai beransur-ansur berhimpun, menanti waktu berbuka dengan penuh keterujaan.

Tatkala azan Maghrib berkumandang, suasana menjadi syahdu. Selepas menunaikan solat, para jemaah melangkah keluar dari ruang solat dengan nasi bungkus di tangan, terpancar ketenangan di wajah mereka.

Alunan bacaan al-Quran yang merdu mengiringi solat Tarawih, menyemarakkan jiwa meskipun berdiri lama dalam ibadah. Pada penghujung malam, mereka pulang dengan hati penuh kegembiraan, membawa keberkatan Ramadan dalam sanubari. Inilah landskap harian di Madinah Ramadan, simbol keunikan Ramadan yang telah menjadi identiti Kota Bharu, Kelantan.


Dasar Membangun Bersama Islam: Teras Perkembangan Madinah Ramadan
Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sejak awal pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, menzahirkan keikhlasan dan tawaduk dalam membangunkan negeri berlandaskan syariat Islam. Beliau menjadikan pentadbiran negeri sebagai medan pengabdian kepada Allah SWT dan memperkenalkan konsep ubudiah secara menyeluruh, menegaskan bahawa setiap pekerjaan boleh menjadi ibadah sekiranya dilaksanakan dengan ikhlas dan menurut tuntutan syarak.

Ilham untuk program ini tercetus ketika beliau berada di Sudan. Dalam satu peristiwa, beliau melihat seorang lelaki tua menunaikan solat di tengah kebun dan terinspirasi untuk membawa budaya tersebut ke Kelantan. Maka, dasar "Membangun Bersama Islam" yang diperkenalkan oleh beliau ini diterjemahkan sebagai kerja-kerja ikhlas  para pendukung. Al-Fadhil Ustaz Wan Hasan bin Wan Osman bersama ahli majlis lain memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan syiar Islam di Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).


Kronologi Perkembangan Madinah Ramadan

1991: Permulaan Inisiatif Berbuka Puasa
Pada tahun 1991, sebelum nama Madinah Ramadan diperkenalkan, sebuah inisiatif kecil bermula di Stesen Bas Kota Bharu. Ustaz Wan Hasan bin Wan Osman dan pasukan Unit Pembangunan Islam MPKB mengambil langkah menyediakan makanan ringan seperti kurma dan air untuk berbuka puasa bagi orang ramai yang terkandas atau dalam perjalanan.

Selain itu, tikar solat turut disediakan bagi memudahkan mereka menunaikan solat Maghrib. Inisiatif ini bertujuan memastikan orang ramai tidak terlepas berbuka puasa dan dapat beribadah dengan lebih selesa walaupun berada di tempat awam.


1991-1993: Langkah Berterusan Secara Sederhana
Sepanjang tempoh ini, penyediaan kemudahan berbuka puasa dan solat di stesen bas Kota Bharu diteruskan dengan pendekatan sederhana tetapi konsisten. Walaupun skala usaha ini kecil, ia menjadi asas kepada pelaksanaan program yang lebih tersusun pada tahun-tahun berikutnya.


1994: Khemah Berbuka Puasa Pertama
Pada tahun 1994, Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Islam MPKB memutuskan untuk memperkukuhkan program berbuka puasa dengan mendirikan khemah berukuran 8' × 6' yang mampu menampung 15 hingga 20 orang pada satu masa.

Khemah ini ditempatkan di Dataran MPKB, berhampiran Stesen Bas Kota Bharu dan Pasar Malam Parit Dalam, bagi memudahkan masyarakat berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib dalam suasana lebih selesa. Inisiatif ini membuka lembaran baharu dalam perkembangan Madinah Ramadan.


1994-2007: Era Imam Tempatan
Sepanjang tempoh ini, program Ihya' Ramadan menggunakan khidmat imam-imam tempatan bagi memimpin solat Tarawih, antaranya Ustaz Hanafizi Al-Hafiz, Almarhum Ustaz Hasan Al-Hafiz, Ustaz Muhaimin Syed Ali Abderrahman (Mesir)


1994-1995: Penerimaan Masyarakat
Dari sebuah inisiatif kecil, penyediaan khemah solat dan berbuka puasa mula mendapat sambutan menggalakkan. Para pengunjung pusat bandar semakin terbiasa dengan kemudahan ini, menjadikannya sebagai satu kemudahan yang amat dihargai.

Suasana Ramadan di Kota Bharu berubah dengan kewujudan khemah ini yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat berbuka puasa tetapi juga menjadi pusat ibadah. Bagi masyarakat setempat, ia menjadi "oasis spiritual" di tengah kesibukan bandar.

1995-2004: Ihya' Ramadan - Memperkasa Syiar Islam
Frasa "Ihya' Ramadan" diperkenalkan bagi menggambarkan usaha menyemarakkan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat. MPKB meningkatkan kapasiti khemah bagi menampung 500 hingga 800 jemaah, seiring dengan sambutan baik masyarakat.

Selain solat berjemaah, khemah ini turut menjadi pusat pengajian agama dengan tazkirah, ceramah ilmiah, dan peringatan sejarah Islam seperti peperangan Badar dan peristiwa Nuzul al-Quran. Tabung Ihya' Ramadan turut dilancarkan untuk membolehkan masyarakat menyumbang kepada kesinambungan program ini.

YAB Menteri Besar, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, turut merasmikan program ini serta menyampaikan tazkirah utama, menambah nilai keberkatan kepada acara tersebut.

2005: Perpindahan ke Dataran Stadium Sultan Muhammad IV
Tahun 2005 menjadi titik perubahan apabila khemah utama dipindahkan ke Dataran Stadium Sultan Muhammad IV. Perpindahan ini dilakukan berikutan pembinaan Kelantan Trade Centre di tapak asal, iaitu di Dataran MPKB.

Perubahan lokasi ini memberikan lebih ruang kepada masyarakat untuk beribadah dalam suasana yang lebih luas dan selesa. Dengan perpindahan ini, Madinah Ramadan berkembang menjadi acara tahunan yang lebih tersusun dan berprestij.

Kesimpulannya, dari sebuah inisiatif kecil di Stesen Bas Kota Bharu, Madinah Ramadan berkembang menjadi program berimpak tinggi yang menyemarakkan syiar Islam di Kota Bharu. Ia bukan sahaja menjadi tempat berbuka puasa dan solat berjemaah, tetapi juga pusat penyebaran ilmu serta medan pembangunan spiritual masyarakat.

Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan negeri dan sambutan hangat masyarakat, Madinah Ramadan terus menjadi ikon keberkatan Ramadan di Kelantan, menghidupkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian serta memupuk semangat kebersamaan dalam beribadah.





Post a Comment

0 Comments