Ticker

6/recent/ticker-posts

PERANG BADAR, REALITI POLITIK MASA KINI - DATO' MOHD AMAR

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 20 Mac – Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato’ Sri Amar D'raja (Dr.) Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa perjuangan menegakkan Islam tidak sia-sia dan tidak boleh diukur semata-mata pada kemenangan segera, tetapi pada usaha berterusan untuk memastikan agama ini terus berkembang.

Beliau mengingatkan bahawa suatu ketika dahulu, perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pernah dipandang sinis. Malah, pada tahun 1991, seorang Timbalan Perdana Menteri pernah menyindir, bertanya dengan nada mengejek, bilakah perjuangan PAS akan berjaya membentuk kerajaan, bimbang ia hanya menjadi seperti “pungguk merindukan bulan.”

Namun, hari ini Islam telah berjaya mentadbir empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

"Jika Allah menghendaki, tidak mustahil suatu hari nanti Islam akan mentadbir Malaysia sepenuhnya," ujarnya dalam satu hantaran di media sosialnya, hari ini.

Beliau mengaitkan cabaran politik Islam masa kini dengan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat dalam Perang Badar, pertempuran besar pertama dalam sejarah Islam.

Bersanggakan 313 pejuang Islam yang berhadapan dengan 1,000 tentera Quraisy yang jauh lebih lengkap bersenjata, kemenangan Badar menjadi bukti bahawa kejayaan tidak bergantung pada jumlah dan kekuatan semata-mata, tetapi pada keimanan dan pertolongan Allah.

"Perjalanan menuju Badar bukanlah sesuatu yang mudah. Umat Islam ketika itu berjalan kaki sejauh lebih 130 kilometer, berkongsi hanya 70 ekor unta dan dua ekor kuda. Mereka bukan tentera profesional, tetapi mereka menyahut seruan jihad dengan keikhlasan yang tinggi," jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa sejarah membuktikan perjuangan Islam sentiasa dipandang kecil dan diperlekehkan oleh musuh-musuhnya, namun pertolongan Allah tetap datang pada saat yang tidak disangka.

"Kejayaan Islam bukan bergantung kepada keupayaan manusia semata-mata, tetapi pada keteguhan dalam perjuangan dan keikhlasan hati para pejuangnya," katanya lagi.

Dalam konteks masa kini, beliau mengingatkan bahawa perjuangan Islam di Malaysia juga menuntut kesabaran dan istiqamah. Puluhan tahun telah berlalu, ramai pejuang telah pergi tanpa sempat melihat hasil perjuangan mereka, namun usaha menegakkan Islam mesti diteruskan oleh generasi seterusnya.

Mengakhiri perkongsiannya, beliau menyeru umat Islam agar mengambil iktibar daripada cabaran solat tarawih di bulan Ramadan sebagai cerminan perjuangan yang lebih besar.

"Semakin dekat dengan penghujung Ramadan, semakin berkurang jemaah di masjid. Begitulah juga dalam perjuangan Islam, semakin jauh perjalanan, semakin ramai yang gugur. Tetapi yakinlah, generasi selepas kita akan meneruskan perjuangan ini dengan izin Allah," ujarnya dalam satu sesi tazkirah selepas solat tarawih di Masjid 'Ahd Al-'Akifin, semalam.

Post a Comment

0 Comments