Oleh: Norzana Razaly
KOTA KINABALU, 16 Mac – Majlis Iftar Perdana ialah platform terbaik dalam mengeratkan hubungan di antara perantau Kelantan di Sabah dengan kepimpinan negeri.
Program kemasyarakatan kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan itu berperanan memperkukuh rasa kekitaan dalam kalangan komuniti Kelantan di Sabah.
Seramai 300 peserta pelbagai lapisan masyarakat Kelantan di Sabah, termasuk golongan profesional, usahawan, dan pelajar itu mencerminkan semangat kebersamaan yang utuh dalam kalangan anak Kelantan, meskipun berada jauh dari tanah air.
![]() |
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud |
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud, dalam ucapan alu-aluannya menyeru anak perantau Kelantan agar terus menanam semangat hubbul watan (cinta akan negeri).
Pesannya, anak-anak Kelantan di perantauan terus menyumbang idea, tenaga serta kepakaran bagi membangunkan negeri tanah tumpah darah.
“Keterlibatan anak Kelantan di perantauan mampu memberi impak besar kepada kemajuan negeri, khususnya dalam sektor ekonomi, pendidikan, dan keusahawanan,” katanya dalam Majlis Iftar Perdana Pemimpin Kelantan bersama Perantau Zon Sabah pada Sabtu.
![]() |
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud |
Pada sesi perasmian, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud mengingatkan hadirin mengenai kelebihan Ramadan dan kepentingan berlumba-lumba menggandakan amalan bagi meraih ganjaran lailatul qadar.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada anak Kelantan di Sabah atas kesungguhan mereka dalam mengekalkan jati diri dan hubungan erat dengan negeri asal.
Manakala Presiden Persatuan Anak Kelantan di Perantauan Malaysia (PERAKAN) Datuk Dr Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin pula menegaskan tanggungjawab perantau untuk sentiasa menyokong pembangunan negeri selari dengan moto PERAKAN, "Sepakat Setia Sokmo."
Beliau menyeru agar anak Kelantan di Sabah terus bersatu dan berperanan aktif dalam mengukuhkan jaringan komuniti perantauan.
![]() |
Presiden Persatuan Anak Kelantan di Perantauan Malaysia (PERAKAN), Datuk Dr Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin |
0 Comments