Ticker

6/recent/ticker-posts

150 ASNAF TERIMA SUMBANGAN YAYASAN TM DALAM PROGRAM CAHAYA RAMADAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 16 Mac – Seramai 150 asnaf dari sekitar Tunjong menerima sumbangan daripada Yayasan Telekom Malaysia (TM) menerusi program Cahaya Ramadan TM 2025.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Abdul Rahman sebagai tanda keprihatinan korporat terhadap golongan yang memerlukan, khususnya dalam menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

Menurut Dato' Md Anizam, Islam bukan sekadar mengatur aspek ibadah tetapi turut menekankan prinsip keadilan, kejujuran dan tanggungjawab sosial dalam perniagaan.

"Perniagaan dalam Islam bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi juga satu bentuk ibadah. Prinsip seperti keadilan, kejujuran dan sedekah perlu diterapkan oleh peniaga Muslim agar mendapat keberkatan Allah SWT.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Abdul Rahman

Inilah yang ditunjukkan oleh Telekom Malaysia pada hari ini," katanya ketika berucap dalam majlis di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan para penerima agar sentiasa mendoakan kesejahteraan para penyumbang agar mereka terus dimurahkan rezeki dan dapat meneruskan usaha kebajikan pada masa akan datang.

"Rezeki itu datang daripada Allah dan hari ini, ia sampai kepada para asnaf melalui Telekom Malaysia. Saya berharap lebih banyak syarikat tampil melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu mereka yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan ini," ujarnya kepada media selepas program berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Besar TM Wilayah Timur, Hairul Anwar Ismail, dalam ucapan alu-aluannya berkata, program Cahaya Ramadan TM merupakan sebahagian daripada inisiatif Yayasan TM dalam usaha menyantuni masyarakat yang memerlukan.

"Program ini bukan sekadar bantuan, tetapi juga bukti keprihatinan TM terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan asnaf yang memerlukan sokongan," katanya.

Dalam program tersebut, setiap penerima menerima sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan asas bagi membantu mereka menjalani ibadah puasa dengan lebih tenang.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan Azman Mat Zin.



Post a Comment

0 Comments