Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 4 Mac– Satu pertemuan telah diadakan di antara pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi membincangkan isu saliran air pertanian serta penyelarasan projek baik pulih infrastruktur di kawasan pertanian Kemubu.
YB Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail mewakili pihak kerajaan negeri, manakala Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa mewakili KADA.
Menurut YB Dato' Tuan Mohd Saripudin, fokus utama perbincangan adalah untuk memastikan sistem pengairan yang lebih cekap, selaras dengan keperluan semasa, demi memastikan hasil padi yang optimum.
"Inisiatif pertemuan ini adalah bertujuan untuk memastikan sistem pengairan lebih cekap dalam penggunaan sumber air bagi sektor sektor pertanian, yang merupakan antara aspek penting dalam memastikan pengeluaran hasil padi yang optimum."
Beliau berkata demikian menerusi satu catatan di media sosial miliknya pada Ahad.
Pertemuan yang berlangsung di pejabat exco di Mabna itu juga menekankan pentingnya kerjasama antara pihak kerajaan negeri, KADA dengan para pesawah bagi merealisasikan projek penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur pengairan.
"Komitmen bersama ini diharap dapat memberi manfaat besar kepada pesawah dan sektor pertanian agar pengeluaran hasil padi dapat dipertingkatkan," katanya.
![]() |
0 Comments