Ticker

6/recent/ticker-posts

PENGGUNAAN GAJET BERLEBIHAN MENGUNDANG MASALAH KESIHATAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 12 Mac – Penggunaan gajet secara berlebihan dalam kalangan masyarakat semakin menjadi kebiasaan, sekali gus berpotensi mengundang pelbagai masalah kesihatan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata kajian yang dijalankan oleh London School of Hygiene & Tropical Medicine pada tahun 2011 mendapati hampir 92 peratus telefon bimbit mengandungi bakteria, dengan 16 peratus daripadanya dikenal pasti memiliki strain E-coli yang berbahaya.

"Keadaan ini lebih membimbangkan di negara beriklim lembap seperti Malaysia, di mana bakteria tersebut boleh bertahan lebih lama. Ini menimbulkan risiko kesihatan yang perlu dihindari," katanya menerusi ruangan "Tawasau" (Saling Berpesan) di media sosial miliknya pada Selasa.

Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan gajet yang berlebihan memberi kesan negatif terhadap kesihatan tubuh badan, terutama dalam jangka masa panjang.

"Gangguan tidur akibat cahaya biru (blue light) daripada skrin gajet, khususnya apabila digunakan lebih dua jam secara berturut-turut, boleh menjejaskan kesihatan mata.

"Selain itu, Carpal Tunnel Syndrome iaitu keradangan pada otot dan sendi, terutama di bahagian jari serta tangan, sering berlaku akibat penggunaan gajet yang berpanjangan," katanya.

Menurutnya lagi, ketagihan gajet bukan hanya membabitkan golongan muda, malah turut melibatkan warga emas yang boleh mengalami gangguan tidur serta kesan sampingan lain.

"Penggunaan gajet secara berlebihan bukan sahaja menjejaskan pola tidur, malah boleh menyebabkan tekanan pada otot leher dan tulang belakang akibat postur badan yang tidak betul ketika menggunakannya," tambah beliau.

Sehubungan itu, YB Mohd Asri menyeru masyarakat agar lebih berwaspada terhadap kesan negatif penggunaan gajet secara berlebihan dan mengambil langkah mengawal penggunaannya.

"Kemudaratan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kita bertanggungjawab menjaga diri sendiri dan mengelakkan sebarang bahaya, termasuk yang boleh menjejaskan orang lain," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments