Ticker

6/recent/ticker-posts

FENOMENA BERIFTAR DI TEPI SUNGAI KELANTAN: TRADISI, KEAKRABAN DAN DIMENSI SOSIOEKONOMI

Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

Saban tahun sepanjang Ramadan, suasana di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh, Kota Bharu menjadi tumpuan ribuan masyarakat untuk berbuka puasa dalam suasana santai dan harmoni. Tradisi ini bukan sekadar menjamu selera selepas seharian berpuasa, tetapi juga menggambarkan semangat kebersamaan, kemeriahan budaya, serta potensi ekonomi setempat yang berkembang pesat.

Tradisi dan Keunikan Fenomena Berbuka Puasa di Tepi Sungai Kelantan
Seawal pukul 5 petang, pengunjung sudah mula tiba untuk memilih lokasi strategik di tebing sungai. Berbekalkan tikar yang dihampar, mereka berehat sambil menghidangkan juadah berbuka yang dibawa sendiri atau dibeli dari bazar Ramadan berdekatan.

Suasana bertambah meriah dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung setiap hari, terdiri daripada penduduk tempatan serta pengunjung luar yang ingin merasai pengalaman berbuka puasa dalam suasana terbuka dan menenangkan.

Salah seorang penggemar suasana iftar santai di pinggir sungai, Noriza Mohamad, 59, yang menyatakan bahawa berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan sudah menjadi satu kebiasaan bagi dirinya dan keluarga, di mana mereka akan datang sekurang-kurangnya seminggu sekali sepanjang Ramadan.

"Biasanya saya memasak di rumah dan membawanya ke sini untuk berbuka puasa, tetapi hari ini kami membeli sahaja kerana tidak sempat memasak memandangkan saya perlu menjemput anak dari stesen bas berdekatan.

"Seawal pukul 5 petang sudah ada yang datang, dan semakin hampir waktu berbuka, semakin ramai yang memenuhi kawasan ini. Walaupun agak padat, suasananya tetap selesa.

"Berbuka puasa di sini memang meriah kerana selain dapat berkumpul beramai-ramai, kita juga dapat berkenalan dengan orang baru, malah ada yang saling bertukar-tukar juadah," katanya ketika ditemui di lokasi tersebut.

Selepas berbuka puasa, pengunjung bertali arus meninggalkan lokasi untuk menunaikan solat Maghrib di premis sekitar antaranya kompleks membeli-belah serta stesen minyak yang menyediakan surau.

Bukan hanya masyarakat sekitar yang datang untuk berbuka puasa, tetapi lokasi itu turut dikunjungi pengunjung dari daerah luar yang ingin merasai sendiri kemeriahannya.

Bagi Mat Yusoff Huza, 48, beliau bersama keluarganya datang dari Machang untuk membeli kelengkapan hari raya sebelum singgah berbuka puasa di tepi sungai itu.

"Kami bertolak seawal pukul 3.30 petang dari Machang dan terus datang ke sini untuk mendapatkan tempat sebelum kawasan ini semakin penuh dengan pengunjung.

"Setiap tahun, saya dan keluarga akan berbuka puasa di sini sambil membeli-belah persiapan Aidilfitri. Antara lokasi wajib yang kami kunjungi adalah Wakaf Che Yeh, selain menikmati colek," ujarnya.

Kemeriahan ini turut mendapat perhatian Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud bersama isteri Datin Panglima Perang Ustazah Datin Wan Nor Hanita Wan Yaakob meluangkan masa berbuka puasa bersama rakyat di Dataran Tepi Sungai, Lembah Sireh, semalam.

Beliau mengakui keunikan lokasi tersebut dengan pemandangan matahari terbenam yang memukau, di samping suasana yang membangkitkan rasa kekitaan dan keharmonian masyarakat.

Kunjungan beliau turut disertai oleh beberapa pemimpin negeri seperti YB Dato' Takiyuddin Hassan dan Ahli Dewan Negeri Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman, menzahirkan sokongan terhadap aktiviti komuniti yang menyatukan rakyat.

Para pemimpin berkenaan beramah mesra dengan rakyat sambil mengagihkan buah tamar sebagai pelengkap juadah berbuka. Seterusnya berjemaah bersama orang ramai di lokasi yang sama.


Impak Sosioekonomi
Fenomena ini bukan sekadar tradisi berbuka puasa di tempat terbuka, tetapi turut memberi kesan positif kepada aspek sosial dan ekonomi. Dari sudut sosial, ia menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan, waktu berbuka puasa adalah masa berkualiti yang harus dimanfaatkan sebaiknya, bukan sahaja untuk menikmati juadah tetapi juga untuk beribadah dan berekreasi bersama keluarga serta rakan-rakan.

“Kalau di Kota Bharu, tempat yang popular adalah di tepi sungai Kelantan bersebelahan pasaraya AEON. Satu lagi di perkarangan Masjid Muhammadi dan Madinah Ramadan.

"Ada beberapa tempat lain lagi. Setengahnya memang ada disediakan kemudahan solat berjemaah. Untung sungguh, dapat rekreasi bersama keluarga, berbuka juga bersama dan terus berjamaah Maghrib bersama. Untung dunia untung akhirat,” catatnya di laman sosial, hari ini.

Beliau juga berpesan agar khalayak memilih lokasi beriftar yang sesuai dan praktikal untuk menunaikan kewajipan sembahyang.

“Sebaiknya carilah tempat yang bukan sahaja bersih dan menarik bahkan mudah untuk terus menunaikan solat Maghrib secara berjamaah. Kita semua tahu waktu antara solat Maghrib dan Isya' sangat pendek. Dibimbangi terlepas pula kita dengan amal ibadat yang lebih afdal,” ujarnya.

Dalam konteks ekonomi pula, kehadiran ribuan pengunjung setiap hari membuka peluang kepada peniaga bazar Ramadan untuk meraih pendapatan yang lebih lumayan. Dengan lokasi yang strategik berdekatan pasar raya AEON dan kawasan komersial lain, fenomena ini menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat serta menyokong perniagaan kecil dan sederhana.


Etika dan Tanggungjawab Bersama
Bagaimanapun, kepentingan menjaga kebersihan persekitaran tidak boleh diabaikan. Masyarakat digesa untuk memastikan sampah dan sisa makanan dibuang di tempat yang disediakan.

Dato' Dr. Mohamed Fadzli menekankan bahawa kebersihan adalah cerminan akhlak orang beriman, dan umat Islam harus meninggalkan kesan yang baik, bukan sebaliknya. Keprihatinan ini amat penting bagi mengekalkan imej positif komuniti Islam, terutamanya dalam acara keagamaan yang melibatkan orang ramai.

“Satu lagi pesanan saya, kebersihan hendaklah dijaga. Itu sifat orang beriman. Pastikan sisa-sisa makanan dan bahan buangan dibuang ditempat yang disediakan. Jika tidak ada, sediakan beg plastik dari rumah lagi. Pertengahan jalan pulang nanti bolelah dibuang di tempat yang sesuai.

"Berbuka puasa adalah ibadah. Dalam melakukan amal ibadah, pastikan tempatnya bersih dan sesudah beribadah juga ditinggalkan bersih. Bimbang juga nanti timbul persepsi bahawa apabila orang Islam beribadah, yang ditinggalkan adalah kotoran dan sampah sarap. Tak pasal-pasal dengan sebab amalan tidak bertanggung jawab sebahagian dari  kita, Islam pula yang tercemar.

"Seronok melihat fenomena ini. Saya sendiri belum sempat lagi ikut sama. InsyaAllah, saya akan cari masa di satu senja untuk berbuka sambil rekreasi bersama keluarga. Kalau sememangnya baik, elok juga jika diperluaskan ke lokasi-lokasi yang lain. Sekali setahun sahaja kita dapat melihat pemandangan sebegini di petang hari,” catat beliau.

Tuntasnya, fenomena berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan mencerminkan tradisi yang terus subur dalam kalangan masyarakat Kelantan dan refleksi potensi ekonomi dan keunikan budaya yang wajar dipelihara melalui perpaduan nilai keagamaan, sosial, dan ekonomi.

Fenomena ini satu tradisi tahunan yang memanifestasi sebuah simbol keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama untuk terus menyemarakkan budaya berbuka puasa ini dengan penuh rasa syukur, kebersamaan, dan kepedulian terhadap kebersihan serta keselesaan semua pihak.

Post a Comment

0 Comments