Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Media MAIK
KOTA BHARU, 10 Mac - Kecekapan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam mengagihkan zakat semakin diperkukuh menerusi sistem e-Agihan, dengan sokongan aktif para imam dalam mengenal pasti serta membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Yang Dipertua MAIK YBM Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, inovasi digital itu bukan sahaja mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan bantuan zakat, bahkan meningkatkan keyakinan pembayar zakat terhadap ketelusan pengagihan.
"Kejayaan sistem ini diiktiraf di peringkat nasional apabila MAIK menerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2024 bagi kategori Inovasi Zakat Terbaik (Agihan). Pembangunan sistem e-Agihan ini selari dengan kemajuan teknologi semasa dan menyumbang kepada peningkatan permohonan bantuan," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar dan Apresiasi Pembayaran Zakat Tahun 2024 di sebuah hotel pada Ahad.
Dalam majlis itu juga seramai 30 asnaf menerima bakul makanan dan sumbangan lebaran sebagai usaha meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.
Beliau turut menegaskan bahawa keberkesanan pengagihan zakat turut diperkukuhkan menerusi peranan imam di peringkat negeri, bandar, jajahan dan mukim yang proaktif dalam menyantuni keperluan jemaah serta membantu golongan kurang berkemampuan.
Menurutnya, hasil komitmen berterusan itu, kutipan zakat tahun lalu mencatat sejarah baharu dengan peningkatan 15 peratus, mencecah lebih RM269 juta dalam pengagihan kepada asnaf di seluruh Kelantan.
0 Comments