Ticker

6/recent/ticker-posts

PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN AL-QURAN, AMALKAN SEBAGAI PEDOMAN HIDUP - MB KELANTAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 17 Mac – Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, menggesa umat Islam untuk memperkukuh hubungan dengan al-Quran dengan memahami, menghayati, dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi turut memperingati penurunan al-Quran sebagai mukjizat yang kekal hingga akhir zaman.

Katanya, umat Islam perlu menjadikan kitab suci ini sebagai sumber utama petunjuk dan pedoman hidup.

"Sepanjang Ramadan, kita melihat pelbagai cara umat Islam berinteraksi dengan al-Quran. Ada yang mengkhatamkannya berkali-kali, bertadarus dan mendalami tafsirnya, serta tersentuh dengan bacaan imam-imam tarawih. Namun, masih ada yang bersikap acuh tak acuh terhadap al-Quran," jelasnya dalam perutusan sempena peristiwa Nuzul Al-Quran, hari ini.

Menurutnya lagi, ibadah puasa dan al-Quran saling berkait dalam pembentukan ketakwaan individu.

Oleh itu, Ramadan harus menjadi ruang muhasabah untuk menilai sejauh mana seseorang telah mendekatkan diri dengan al-Quran.

Beliau turut menekankan kepentingan menjadikan al-Quran sebagai asas pembentukan individu dan masyarakat yang bertakwa, selain menjadi sumber rujukan dalam setiap keputusan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan keadilan sosial.

"Sambutan Nuzul Al-Quran ini wajar menjadi titik tolak untuk kita menilai sejauh mana kitab suci ini memberi kesan dalam kehidupan kita.

"Bacalah dengan khusyuk, fahami maksudnya dengan merujuk tafsir muktabar, dan amalkan ajarannya dengan bersungguh-sungguh," ujarnya.

Dalam konteks pentadbiran negeri, kerajaan Kelantan terus berpegang kepada dasar Membangun Bersama Islam menerusi pelan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam, yang berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat untuk kembali kepada al-Quran sebagai sumber hidayah dalam setiap aspek kehidupan, demi membina masyarakat yang harmoni dan bertamadun.

Post a Comment

0 Comments