![]() |
Pengerusi PKB, YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 18 Mac – Seramai 37 asnaf dari sekitar Kota Bharu menerima sumbangan tunai RM200 dan bakul makanan bernilai RM100 dalam program Maidatul Rahman Ramadan 1446H anjuran Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan Pusat Perubatan An-Nisa’.
Kedua-duanya syarikat milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Pengerusi PKB, YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob menekankan kepentingan menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran sebagai panduan hidup sepanjang Ramadan.
“Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, manfaatkanlah ‘maidah’ atau hidangan daripada Allah, iaitu al-Quran. Al-Quran adalah petunjuk terbaik bagi manusia, mencakupi aspek muamalat, munakahat, syariah, akhlak, tasawuf hingga urusan pentadbiran dunia,” katanya ketika menyampaikan sumbangan tersebut di perkarangan Pusat Perubatan An-Nisa’, pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Dato’ Sr. Zamri Ismail memaklumkan bahawa program tersebut adalah sebahagian daripada usaha PKB dan Pusat Perubatan An-Nisa’ untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
“PKB memainkan peranan penting dalam menawarkan perkhidmatan gadaian Islam melalui Ar-Rahn, yang telah terbukti menjadi sistem kewangan lestari dalam membantu masyarakat.
![]() |
Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Dato’ Sr. Zamri Ismail |
"Sehingga kini, PKB mengendalikan 100 cawangan Ar-Rahn di seluruh Malaysia, termasuk 65 cawangan francais bersama koperasi dan pihak berkepentingan lain,” jelasnya.
Menurutnya lagi, Pusat Perubatan An-Nisa’ menerima sumbangan katil pembedahan (OT) daripada Infra Quest Sdn. Bhd. (IQSB), yang diharapkan dapat meningkatkan kemudahan rawatan serta memberikan motivasi kepada petugas kesihatan.
Turut hadir, Pengerusi Pusat Perubatan An-Nisa' YB Dato' Mumtaz Md Nawi, Ahli Lembaga Pengarah syarikat anak PKINK, Pengurus Besar PKB Hassan Shukri Hussein, dan Pengurus Besar Pusat Perubatan An-Nisa’ Nursabati Pauzi.
0 Comments