Ticker

6/recent/ticker-posts

PTMS: JAMBATAN PERANTAU KELANTAN DENGAN KAWASAN

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 21 Mac- Penghulu Tanpa Mukim Seranta (PTMS) merupakan jambatan yang menghubungkan anak-anak Kelantan di perantauan dengan kawasan masing-masing di Kelantan, kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud.

Katanya, antara peranan yang perlu dimainkan oleh PTMS adalah memastikan warga perantau dari kawasan masing-masing sentiasa ada "hubbul watan" iaitu semangat cintakan negeri.

"Kalau ada sesuatu perkara atau sesuatu isu seperti pilihanraya, PTMS mesti memberitahu warga perantau dari kawasan masing-masing supaya" hubbul watan" dengan mengutamakan negeri sendiri.

"Jika ada dalam kalangan warga perantau dari kawasan masing-masing memohon untuk menukar alamat tempat mengundi, katakan tidak boleh dan mesti balik mengundi di Kelantan bagi memastikan kemenangan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Iftar Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bersama PTMS, di Dewan Terbuka, Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR10, Kota Bharu pada Khamis.

Tambahnya, PTMS hendaklah mengetahui data terkini dan tepat tentang warga perantau dari kawasan masing-masing supaya mudah dikendalikan terutama menjelang pilihanraya.

"Biasanya apabila menjelang pilihanraya akan memerlukan data yang terkini dan tepat.

"Di Dewan Negeri (DUN) atau parlimen mungkin mempunyai data yang lama. Untuk mendapat data yang terkini dan tepat, PTMS perlu sentiasa berbincang dan berhubung dengan pihak Seranta dan pihak yang menjaga Pusat Seranta di Wisma Seranta Kuala Lumpur," tambahnya.

Dalam majlis yang sama, YB Mohd Asri turut menegaskan kerajaan negeri dan persekutuan sentiasa menjalinkan hubungan yang baik bagi menjaga kemaslahatan rakyat Kelantan.

"Tidak ada pertembungan dari sudut hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan. Kerajaan negeri dan persekutuan menjalinkan hubungan yang akrab sejak zaman Almarhum Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato ' Nik Abdul Aziz lagi sehinggalah pada era Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) di zaman YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

"Hubungan akrab ini bagi memastikan kemaslahatan serta apa yang berkaitan dengan hal ehwal rakyat Kelantan terjaga," tegas beliau.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB NIK Bahrum Nik Abdullah, Pengarah UPKN. Razuan Awang Hamad serta penolong-penolong pengarah kanan UPKN.



Post a Comment

0 Comments