Ticker

6/recent/ticker-posts

NGO PENGGERAK BARISAN HADAPAN PERJUANG PELBAGAI ISU – YB ZAMAKHSHARI



Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 20 April – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bukan sekadar gerakan sukarela, sebaliknya merupakan penggerak utama di barisan hadapan dalam menangani pelbagai isu kemasyarakatan, bantuan kemanusiaan dan pembangunan belia.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad berkata peranan NGO semakin penting dalam menghadapi cabaran semasa seperti penularan gejala dadah dan jenayah seksual, khususnya kes cabul yang kian membimbangkan.

“NGO harus berani tampil menyatakan sokongan terhadap usaha menyelesaikan isu-isu kritikal ini.

"Jika ada idea, salurkan kepada kerajaan. Jika ada tenaga, hulurkan bantuan bagi menggerakkan inisiatif yang sedang dijalankan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Sabtu.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis penutup Bengkel Pengurusan NGO anjuran Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) yang diadakan di sebuah hotel di Tunjong.


Bengkel yang menghimpunkan seramai 300 peserta itu memberi pendedahan berkaitan tadbir urus, pengurusan kewangan serta hala tuju strategik kepada NGO bagi memperkukuh peranan mereka dalam masyarakat.

Mengulas lanjut, YB Zamakhshari menegaskan bahawa NGO perlu beroperasi secara profesional, telus dan cekap agar terus relevan serta memberi impak berkesan kepada masyarakat.

“Semangat sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan perancangan rapi, strategi yang berkesan dan sistem pengurusan organisasi yang kukuh. In sya Allah, bengkel seperti ini mampu mempertingkat kefahaman serta kemahiran para penggerak NGO dalam melaksanakan tugas mereka secara berintegriti dan berdaya tahan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar golongan belia mengambil peluang untuk terlibat secara aktif dalam kepimpinan NGO.

“Belia bukan sekadar pewaris kepimpinan, malah merupakan rakan kongsi penting dalam meneruskan legasi perjuangan. NGO adalah antara platform terbaik untuk mencungkil dan mengasah bakat kepimpinan mereka dalam masyarakat,” jelasnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memperkasa NGO melalui sokongan berbentuk latihan, pembiayaan serta kerjasama rentas agensi.

“Kita percaya, NGO yang kukuh dan berwibawa mampu mempercepat agenda pembangunan negeri secara lebih inklusif,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments