Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 24 April – Pengguna di Kelantan bakal menikmati hasil tempatan berjenama sendiri apabila beras Darulnaim seberat lima kilogram sekampit dijangka berada di pasaran menjelang akhir Ogos tahun ini.
Perkembangan itu diumumkan oleh Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri Kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail yang memaklumkan bahawa pengeluaran beras tersebut akan dilakukan oleh Kilang Padi dan Beras Darulnaim Sdn Bhd yang kini hampir siap sepenuhnya di Meranti, Pasir Mas.
“Kilang ini dijangka beroperasi sempena musim pertama pengeluaran padi tahun ini, dan insya-Allah, beras Darulnaim lima kilogram akan mula dipasarkan sekitar akhir Ogos,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Kelaboran YB Adanan Hassan dalam sesi Persidangan Kali Pertama Penggal Ketiga, Dewan Negeri Kelantan ke-15, hari ini.
Kilang tersebut dibangunkan oleh Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dengan kerjasama pelabur, dan berupaya memproses sehingga 600 metrik tan padi sehari, menjadikannya antara kilang pemprosesan padi terbesar di negeri ini.
Sebagai simbol permulaan operasi, majlis solat hajat akan diadakan pada 27 April bersempena pembukaan kilang untuk pembelian padi dari para pesawah.
0 Comments