Oleh: Farhan Fauzai
KOTA DARULNAIM, 24 April – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh komitmen dalam menangani isu pencemaran alam sekitar menerusi pelaksanaan tiga inisiatif teknologi hijau yang dilaksanakan oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pendekatan yang diambil memberi penekanan kepada pengurusan sisa pepejal secara lestari dan berimpak tinggi.
Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk projek penternakan larva Black Soldier Fly (BSF) yang bermula sejak tahun 2022 di Pasar Borong Tasek Raja, Pasir Mas dan Pasar Borong Tanah Merah. Projek ini menggunakan larva BSF untuk memproses sisa organik, sekali gus mengurangkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan.
“Larva ini memakan sisa organik dan kemudiannya boleh dijadikan sumber makanan kepada haiwan ternakan,” jelasnya ketika menggulung perbahasan dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal ke-15, hari ini.
Menurutnya lagi, inisiatif berkenaan turut mendapat pengiktirafan apabila KUM menerima anugerah amalan terbaik inisiatif bersama komuniti dalam bidang amalan hijau daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan projek pelombongan sampah (landfill mining) di tapak pelupusan Beris Lalang, Bachok bermula tahun ini.
Projek tersebut bertujuan mengorek dan mengasingkan sisa lama (legacy waste) sebagai langkah mengurangkan tekanan terhadap kapasiti pelupusan sedia ada.
“Langkah ini berpotensi memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada serta mengelakkan keperluan membuka tapak pelupusan baharu,” jelas beliau.
Inisiatif ketiga melibatkan pembangunan projek biogas yang berasaskan 100 peratus sisa organik dari tapak pelupusan sama. Melalui teknologi penguraian sisa menggunakan mesin khas, gas metana akan dihasilkan dan digunakan untuk penjanaan tenaga elektrik.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027 dan bakal menjana sebanyak 1.2 Mega Watt (MW) tenaga elektrik setiap hari. Ia bukan sahaja meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui, malah mengurangkan pelepasan karbon dan kesan rumah hijau,” ujarnya.
Tambahnya, semua inisiatif ini selaras dengan agenda pembangunan mampan kerajaan negeri dalam memastikan kelestarian alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.
0 Comments