Oleh: Ahmad Fathi Yusoff Ajami
Satu sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan oleh seorang Exco membuatkan saya mengimbau kenangan lama.
Hati saya benar-benar tersentuh apabila YB Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, yang juga Ahli Dewan Negeri Demit bangun memberikan maklum balas terhadap perbahasan ADN Jelawat.
Terlebih dahulu ucapan ADN Jelawat, YB Zameri Mat Nawang dalam perbahasannya cukup menyentuh hati saya:
"Mereka yang berada di luar Kelantan juga adalah anak Kelantan. Tiba masanya mereka akan pulang ke Kelantan antaranya musim pilihanraya, musim hari raya, mereka balik. Kadang-kadang meraka terpaksa ambil cuti, mereka tinggalkan kerja, mereka keluarkan wang perbelanjaan. Bahkan ada yang terlibat dalam kemalangan semasa pulang. Kebajikan kepada mereka juga perlu di berikan kerana mereka menunaikan tanggungjawab demokrasi. Mereka lakukan perkara tersebut kerana cintakan dan kasih kepada negeri ini."
YB Zameri kemudian mencadangkan penubuhan satu Institusi Demokrasi yang bertanggungjawab terhadap penyuburan demokrasi dalam kalangan perantau.
Ucapan itu bukan sekadar respons — ia meniup kembali kenangan lama saya sebagai seorang perantau.
Langkah pertama saya meninggalkan Kelantan adalah ke Langkawi selepas SPM untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Kemudian, saya merentas Laut China Selatan ke Sarawak — bumi Darul Hana — menimba ilmu dan menyempurnakan pengajian diploma.
Dari bumi Kenyalang, saya berhijrah pula ke bumi Hang Tuah — Melaka — bagi meneruskan pengajian sarjana muda. Melaka rupa-rupanya menjadi saksi banyak memori indah. Di sanalah saya menamatkan pengajian dan membina rumah tangga dengan seorang perantau Kelantan juga.
Kami menyewa di sebuah pekan kecil yang penuh kenangan — Lubok China. Jerih perih mencari rezeki, membesarkan anak-anak dan membina kehidupan menjadi sebahagian daripada kisah hidup saya dan pasangan.
Seperti para perantau yang lain, bumi Kelantan sentiasa memanggil-manggil kami. Beberapa kali dalam setahun kami akan menempuh perjalanan penuh liku di Lebuhraya Karak sebelum kembali diuji di Bukit Tujuh selama berjam-jam untuk tiba di bumi Tok Janggut. Paling kurang tiga situasi kami wajib balik. Pertama, hari raya. Kedua, bersalin. Kesemua anak saya lahir di Kelantan. Ketiga, pilihanraya. Wajib balik.
Respon YB Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan cukup positif. YB Ustaz Asri menyatakan pihak Kerajaan Negeri bersedia menimbang cadangan untuk mewujudkan institusi atau entiti khas bagi membantu meningkatkan kesedaran demokrasi dan semangat hubbul watan (cinta tanah air) kepada rakyat Kelantan terutama yang berada di perantauan.
YB Ustaz Asri menyatakan kesedaran demokrasi dan semangat cinta tanah air kepada tanah Serambi Mekah ini tinggi. Setiap kali pilihan raya para perantau sanggup pulang dari seluruh pelusuk dunia dengan perbelanjaan sendiri.
Dalam masa yang sama YB Ustaz Asri menyatakan pihak Kerajaan Negeri cukup memahami kesusahan dan kesulitan para perantau untuk pulang menunaikan tanggungjawab demokrasi khususnya golongan B40.
Oleh itu pihak Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan bas secara percuma kepada pelajar IPT yang diuruskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri pada pilihanraya yang lalu.
Ucapan penuh perbahasan YB Zameri dan penggulungan YB Ustaz Asri boleh ditonton di laman Youtube Urusetia Penerangan Negeri Kelantan.
0 Comments