![]() |
YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan |
Oleh Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 22 April – Langkah proaktif Kerajaan Negeri Kelantan menawarkan insentif pembangunan infrastruktur telekomunikasi diyakini mampu menarik pelaburan baharu dan mempercepatkan peluasan jaringan fiber optik sebagai tulang belakang kepada teknologi 5G di negeri ini.
Pendekatan tersebut diumumkan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Melor YB Wan Rohimi Wan Daud dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal Ke-15, hari ini.
Menurut Dato' Wan Roslan, kerajaan negeri amat menyedari keperluan penyediaan infrastruktur sokongan yang mampan bagi memperkasa jaringan internet berkelajuan tinggi, khususnya melalui teknologi fiber optik, memandangkan kebanyakan menara sedia ada tidak dapat menampung keperluan rangkaian 5G.
“Melalui pelaksanaan Enakmen Hak Akses dan Penggunaan Tanah Infrastruktur Utiliti Negeri Kelantan 2022, pelabur dan syarikat telekomunikasi diberi insentif pengurangan fi hak akses sebanyak 50 peratus, daripada RM10 kepada RM5 per meter.
“Kita turut memperkenalkan kadar pajakan dan lesen pendudukan tanah secara bertingkat dan progresif, bagi merangsang lebih banyak pelaburan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menerangkan bahawa struktur insentif tersebut melibatkan tiga fasa utama.
Fasa Pertama (tahun 1 – 3) melibatkan pajakan RM0.10 per meter sebulan.
Manakala lesen pendudukan tanah pula ialah sebanyak RM0.05 per meter sebulan.
Seterusnya, Fasa Kedua (Tahun 4 – 6) menetapkan kadar pajakan RM0.05 per meter sebulan sementara lesen pendudukan tanah pula RM0.25 per meter sebulan
Pada Fasa Ketiga (Tahun ke-7 dan seterusnya), bayaran penuh dikenakan mengikut kadar Jadual 2 Kaedah- Kaedah Hak Akses iaitu RM100 per meter.
Tambahnya, pendekatan bertahap itu memberi ruang kepada syarikat untuk menyesuaikan pelaburan dan operasi mereka mengikut fasa pembangunan yang dirancang.
Sekali gus meningkatkan daya saing Kelantan sebagai hab digital yang inklusif.
“Ini adalah antara usaha menjayakan agenda Kelantan Digital 2025 dan kerajaan negeri berperanan sebagai pemudah cara, bukan sekadar pengawal selia,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan, pelaksanaan infrastruktur fiber optik akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi digital, penyediaan bandar pintar, peningkatan sistem pendidikan, kesihatan dan kemudahan rakyat secara menyeluruh.
0 Comments