Ticker

6/recent/ticker-posts

PELAKSANAAN SISTEM E-TANAH MENYELURUH DI KELANTAN MENJELANG 2028

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 22 April – Kerajaan Negeri Kelantan bakal melaksanakan Sistem E-Tanah secara menyeluruh di seluruh jajahan negeri menjelang tahun 2028, sebagai sebahagian daripada agenda besar transformasi digital dalam pentadbiran tanah negeri.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumbuh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal ke-15, hari ini.

“Pelaksanaan sistem e-Tanah ini adalah antara langkah terpenting yang diambil oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan prestasi pentadbiran tanah secara menyeluruh. Ia dijangka memberi impak besar dalam aspek kecekapan, ketelusan dan pemantauan pentadbiran tanah,” jelasnya.

Sistem tersebut akan menyusun semula aliran kerja pentadbiran tanah secara digital dan menyatukan pelbagai proses termasuk permohonan milik, semakan status, pertukaran syarat serta pengeluaran geran tanah ke dalam satu sistem bersepadu yang boleh diakses secara dalam talian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumbuh, YB Dato’ Abdul Rahman Yunus

Dalam sesi soal jawab itu juga, Menteri Besar memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut mempertimbangkan untuk membangunkan Dashboard Prestasi Pentadbiran Tanah yang akan berfungsi secara masa nyata (real-time), membolehkan pemantauan proses permohonan tanah dijalankan dengan lebih telus dan efisien.

“Melalui dashboard ini, kita akan dapat mengenal pasti dengan lebih awal punca kelewatan atau isu dalam kelulusan permohonan sama ada di peringkat permohonan, semakan atau pelulusan,” hurainya.

Sebagai sokongan kepada pelaksanaan sistem digital berkenaan, beberapa enakmen telah diluluskan dan sedang dilaksanakan, antaranya Enakmen Pesuruhjaya Tanah Kelantan 2017, Enakmen Hak Akses dan Penggunaan Tanah Infrastruktur Utiliti Negeri Kelantan 2022 serta Enakmen Pertanian 2022. Semuanya memberi kerangka perundangan kukuh kepada kuasa pentadbiran tanah negeri.

Di samping itu, usaha berterusan sedang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kelantan untuk meningkatkan kecekapan kakitangan melalui kolaboratif latihan dengan institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Geomatika Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM).


Langkah-langkahnya termasuklah penempatan strategik pegawai ke Pejabat Tanah Jajahan serta pengambilan jurukur, pegawai penilai, pegawai geologi dan lain-lain tenaga profesional yang relevan.

Dato’ Mohd Nassuruddin turut menegaskan bahawa pelaksanaan e-Tanah akan memperkasa aspek penguatkuasaan undang-undang tanah apabila semua notis dan tindakan dapat dijejaki secara menyeluruh dalam sistem.

“Ini mampu mengelakkan kelewatan atau kes tertangguh akibat ketiadaan tindakan susulan ke atas notis yang dikeluarkan. Dengan e-Tanah, kita dapat pantau dari peringkat awal sehingga selesai. Ini akan membantu memastikan setiap langkah penguatkuasaan tidak terlepas pandang,” tegasnya.

Post a Comment

0 Comments