![]() |
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat |
Oleh Norzana Razaly
Kredit foto: Sekretariat Sebaran Sidang DUN Kelantan
Kredit foto: Sekretariat Sebaran Sidang DUN Kelantan
KOTA DARULNAIM, 22 April – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkasa keupayaan digital negeri menerusi pelbagai inisiatif strategik dalam penyediaan infrastruktur penghantaran fiber optik sebagai asas utama pembangunan teknologi rangkaian 5G.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan bahawa kerajaan negeri giat melaksanakan usaha menyeluruh ke arah memperluas liputan dan kecekapan rangkaian digital.
“Setakat ini, sebanyak 232 tapak pemancar 5G telah dibangunkan di seluruh negeri, meliputi 82.4 peratus kawasan berpenduduk, manakala 72.7 peratus tapak bersepadu telah dilengkapi sambungan gentian optik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Melor YB Wan Rohimi Wan Daud dalam persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal ke-15, hari ini,
Tambahnya, pelaksanaan Pelan Kesalinghubungan Gentian Optik Kelantan (Kelantan Fiberisation Connectivity Plan) sedang dirangka bagi memastikan capaian internet berkelajuan tinggi diperluas khususnya di kawasan perindustrian, komersial dan institusi pendidikan.
Kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan kemasukan awal tapak dengan hanya 50 peratus bayaran deposit bagi pemasangan infrastruktur berkaitan projek kerajaan yang dikendalikan melalui unit penyelarasan Bahagian Kawal Selia Infrastruktur dan Sistem Maklumat Geografi (BKI-GIS).
Dato' Wan Roslan juga memaklumkan bahawa dalam usaha memperkemas pembangunan rangkaian 5G, beberapa penambahbaikan turut dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi tempatan.
"Antara langkah tersebut termasuk menaik taraf dan penambahan kapasiti rangkaian sedia ada.
"Kedua, pemeriksaan berkala ke atas infrastruktur dan peralatan teknikal.
"Ketiga, cadangan penambahan tujuh menara telekomunikasi baharu di kawasan Gua Musang, yang dikenal pasti sebagai zon keperluan liputan baharu.
"Tiga langkah itu dilihat sebagai kesinambungan komitmen kerajaan dalam memperluas capaian teknologi maklumat sejajar dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0, selain menggalakkan kesediaan masyarakat terhadap aplikasi ekonomi digital, pendidikan maya dan penyampaian perkhidmatan pintar, " ujarnya.
Beliau meyakini usaha itu memenuhi keperluan pengguna hari ini dan dapat membina asas kukuh bagi pembangunan digital masa depan Kelantan yang lebih cekap, stabil dan berdaya saing.
0 Comments