![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan |
Oleh: Farhan Fauzai
KOTA DARULNAIM, 22 April – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memperkasa strategi pelaksanaan Dasar Membangun Bersama Islam pada fasa ketiga iaitu Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
Ia berperanan sebagai tunjang pentadbiran negeri, melalui pelaksanaan menyeluruh di semua agensi kerajaan.
Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan, pendekatan PMBI berteraskan lapan arahan utama yang telah digariskan oleh mantan Menteri Besar, dan kini diteruskan dengan penekanan terhadap nilai-nilai Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan dalam pelbagai program kerajaan negeri.
“Kerajaan memberi tumpuan kepada pengukuhan PMBI secara dalaman dan luaran, dengan fokus terhadap pelaksanaan projek utama di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), usaha menjadikan Kelantan sebagai hab pelaburan, peningkatan pendidikan STEM, serta pemerkasaan sistem penyampaian maklumat kepada rakyat,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud, dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal ke-15, hari ini.
Bagi memastikan hala tuju fasa semasa lebih terarah, Kerajaan Negeri telah membangunkan Pelan Tindakan Strategik PMBI yang diselaraskan oleh Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK).
Dokumen tersebut menjadi rujukan utama dalam menyelaras, memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan PMBI secara sistematik, berpaksikan indikator yang jelas dan boleh diukur.
“Fasa PMBI ini merupakan kesinambungan daripada dua fasa terdahulu yang diperkenalkan kepimpinan sebelum ini.
"Walaupun masih baharu untuk dinilai secara menyeluruh, dua dasar terdahulu telah dikaji secara bersama oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP) menerusi pelaksanaan Indeks Sosio Taqwa Rakyat Kelantan,” ujarnya.
Hasil kajian itu menunjukkan dapatan yang amat memberangsangkan, mencerminkan kekuatan nilai keagamaan dalam kalangan rakyat, di samping perkembangan positif dari segi ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli turut menyentuh isu gejala sosial yang semakin membimbangkan dan menegaskan perlunya kerjasama kolektif merentas peringkat persekutuan, negeri dan agensi berkaitan.
"Masalah sosial tidak harus dijadikan modal politik untuk menjatuhkan mana-mana pihak. Ia perlu ditangani secara bersama, tanpa mengira di mana kejadian berlaku,” tegas beliau.
0 Comments