Ticker

6/recent/ticker-posts

KEJAYAAN NUR SYAFIENAZ JADI KEBANGGAAN RAKYAT KELANTAN – MENTERI BESAR


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 29 April – Kejayaan adik Nur Syafienaz Nazri, 17, anak orang asli daripada suku Temiar yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 membanggakan keluarganya dan seluruh rakyat Kelantan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) menyampaikan sumbangan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panggung Jaya, Gua Musang itu.

"Kerajaan Negeri Kelantan melalui YAKIN telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 sebagai penghargaan atas kejayaan cemerlang yang diraih oleh adik Nur Syafienaz dalam peperiksaan SPM 2024.

"Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited menjaga kebajikan seluruh rakyat, termasuk masyarakat orang asli tanpa mengira latar belakang.


"Tahniah kepada adik Nur Syafienaz. Semoga terus cemerlang dan menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak Kelantan yang lain," katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Isnin.

Terdahulu, Dato' Mohd. Nassuruddin menyampaikan sumbangan tersebut kepada Nur Syafienaz dalam satu majlis ringkas di pejabatnya di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim.

Turut hadir, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud serta Pengarah YAKIN Nik Jessin Tan Sri Nik Hashim.

Sementara itu, Nur Syafienaz yang hadir bersama ibunya Siti Norsyakila Kamaruzaman, menzahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Nur Syafienaz Nazri, anak orang asli yang cemerlang SPM 2024

"Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas perhatian pelbagai pihak, khususnya YAB Menteri Besar.

"Saya sangat gembira dan terharu dengan penghargaan ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut.

Nur Syafienaz, yang bercita-cita menjadi seorang guru bahasa Inggeris menyimpan impian besar untuk mengubah nasib keluarganya dan memperkasa masyarakat orang asli.

"Saya datang daripada keluarga yang susah, jadi saya ingin mengubah nasib keluarga saya.

"Saya juga mahu mengubah minda masyarakat orang asli agar mereka bergerak seiring dengan peredaran masa dan tidak ketinggalan," ujarnya.

Untuk rekod, Nur Syafienaz merupakan anak masyarakat orang asli pertama di Kelantan yang mencapai keputusan cemerlang dalam SPM dengan memperoleh 8A.

Selain mendapat perhatian daripada kerajaan negeri, beliau turut menerima tawaran laluan khas dengan pembiayaan penuh ke institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA), bersama 86 pelajar orang asli lain yang cemerlang dalam SPM 2024.

Post a Comment

0 Comments