![]() |
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud |
Oleh: Asyura Muhamad
KOTA DARULNAIM, 23 April – Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) sedang dalam proses untuk mengemaskini Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri (MAPEN) sebagai suatu Think Tank Group yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar.
“MAPEN ditubuhkan sebagai satu badan bagi mendapatkan nasihat pakar-pakar ekonomi dalam pelbagai bidang mengenai dasar, strategi serta program ekonomi dan pembangunan.”
Demikian menurut Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir YB Tuan Mohamad Nasriff Daud dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal ke-15, hari ini.
Jelas beliau lagi, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan keterbukaan dalam menerima pandangan yang bernas daripada pakar dan golongan professional melalui pelbagai saluran termasuk sesi kunjungan hormat dan kunjungan khas secara rasmi.
![]() |
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir, YB Tuan Mohamad Nasriff Daud |
Katanya, setiap buah fikiran yang dikemukakan akan diteliti dan dibincangkan bersama jabatan dan agensi yang berkaitan sebagai asas penambahbaikan dalam pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada ADN Pengkalan Pasir, Menteri Besar memaklumkan terdapat enam objektif utama penubuhan MAPEN iaitu pertama untuk merangka transformasi ekonomi negeri berasas Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
“Seterusnya yang kedua, ialah menyediakan perspektif yang mantap dalam menggerakkan negeri daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
Ketiga, ialah memberi pandangan yang jelas kepada pihak kerajaan dalam mengurus sumber negeri bagi memantapkan hasil dan juga kewangan negeri,” katanya.
Tambahnya lagi, objektif penubuhan MAPEN yang keempat adalah untuk memberi pandangan yang jelas tentang kedudukan strategik negeri dalam ekonomi tempatan dan global. Manakala, yang ke lima ialah bertindak sebagai badan yang merapatkan jurang sektor awam dan swasta untuk mewujudkan perkongsian awam dan swasta yang baharu dalam meningkatkan kerjasama dan daya saing di peringkat global.
Jelasnya lagi, untuk objektif terakhir iaitu yang ke enam, ialah menyedia panduan arah dan strategi pelaksanaan transformasi bagi memastikan bahawa cadangan-cadangan boleh dilaksanakan dengan berkesan di semua peringkat.
0 Comments