Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 16 April – Kelantan memerlukan lebih ramai usahawan tani khususnya dalam bidang penternakan bagi meningkatkan pengeluaran sumber makanan tempatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Menurutnya, jumlah usahawan tani di negeri ini masih berada pada tahap minimum, terutamanya dalam bidang ternakan ayam penelur yang menjadi antara sumber utama protein rakyat.
"Kita memerlukan lebih ramai individu dalam kalangan masyarakat untuk melibatkan diri dalam sektor penternakan, khususnya ayam penelur.
"Apabila jumlah pengusaha bertambah, ia secara tidak langsung dapat memenuhi keperluan pasaran tempatan. Malah, telur yang dihasilkan oleh penternak tempatan juga lebih berkualiti," katanya menerusi hantaran di laman media sosial rasmi pada Isnin.
Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi, Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan Norbahani Zakaria telah mengadakan lawatan kerja sempena Jelajah Eksplorasi Tani Tumpat di sekitar kawasan Wakaf Bharu.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah kebun anggur Kelantan Grape Vineyard milik usahawan muda Wan Yusuf Abdul Rahman yang kini menanam lebih 40 varieti anggur dengan jumlah keseluruhan 200 pokok menggunakan kaedah fertigasi moden.
"Kita perlu bersama-sama memperjuangkan agenda keterjaminan makanan negara melalui penglibatan aktif dalam bidang pertanian dan penternakan," ujarnya.
0 Comments