Ticker

6/recent/ticker-posts

PERAHU KOLEK IKON PELANCONGAN KELANTAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 6 April – Perahu kolek diiktiraf sebagai salah satu ikon pelancongan negeri Kelantan yang berpotensi besar menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pelancaran dua buah perahu kolek pelancongan yang dilaksanakan hari ini diyakini mampu menambah daya tarikan negeri ini sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Dengan pelancaran dua buah perahu kolek ini dan apabila ia memulakan operasi kelak, saya yakin ia akan meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke Kelantan dari dalam dan luar negara.

“Kemasukan pelancong yang meningkat secara langsung akan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan serta memberi manfaat besar kepada rakyat,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Perahu Pelancongan di Tanjung Kuala, Sabak, di sini, hari ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Datuk Kamarudin Md Nor

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Kelantan merancang untuk memperkenalkan projek "River Cruise" sebagai inisiatif memperkasa sektor pelancongan berasaskan sumber semula jadi.

“Kita mempunyai dua batang sungai utama iaitu Sungai Pengkalan Datu dan Sungai Kelantan.

"Perahu kolek ini akan beroperasi di kedua-dua sungai tersebut; satu berpengkalan di Cersna Resort, Pengkalan Datu dan satu lagi di Tambatan Diraja, Sungai Kelantan di Kota Bharu,” ujarnya.

Beliau turut merakam ucapan tahniah dan penghargaan kepada tokoh dikir barat terkenal Ramli Raja Laut, atas inisiatif beliau merealisasikan projek perahu kolek pelancongan tersebut.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Ramli Raja Laut yang telah mengusahakan dua buah perahu kolek ini. Kami amat berbangga dengan usaha gigih beliau dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) Nik Mohamad Fahmi Nik Daud serta para pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan.

Post a Comment

0 Comments