![]() |
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawan Negeri Kelantan, YB Mejar (B) Dato’ Hj Md Anizam Ab Rahman |
Oleh: Asyura Muhamad
KOTA DARULNAIM, 24 April – Melalui Dasar Pelaburan Kelantan, kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa insentif bagi menggalakkan kemasukan pelaburan ke negeri ini.
“Antaranya ialah menyegerakan kelulusan dasar permohonan pelaburan melalui Jawatankuasa Sehenti Pelaburan Kelantan serta memberi pengecualian bayaran cukai pintu bagi tahun pertama dan kedua dari tarikh mula beroperasi atau setelah mendapat Certificate of Completion dan Compliance (CCC).”
Demikian menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Dato’ Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Norsham Sulaiman dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Penggal ke-15, hari ini.
Selain itu katanya, kelonggaran bayaran premium tanah dan premium ubah syarat tanah secara beransuran iaitu 40 peratus bagi tahun pertama, 30 peratus bagi tahun kedua dan ketiga juga turut diberikan.
Jelas beliau lagi, antara alternatifnya ialah kelulusan segera kebenaran merancang melalui jawatankuasa kawal selia merancang dan menyelaras aktiviti-aktiviti kemajuan projek Pembangunan Negeri Kelantan.
“Usaha galakkan pelaburan ini juga disokong oleh insentif tambahan yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) seperti taraf perintis pengecualian cukai pendapatan bermula daripada 70 peratus atau 100 peratus untuk tempoh lima atau sepuluh tahun,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya MIDA turut memberi elaun cukai pelaburan 60 peratus atau 100 peratus perbelanjaan modal yang layak selama lima tahun dan elaun pelaburan semula 60 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak selama 15 tahun berturut-turut.
“Pengecualian duti import untuk bahan mentah atau komponen dan mesin serta peralatan juga turut ditawarkan oleh pihak MIDA,” jelasnya.
0 Comments