Ticker

6/recent/ticker-posts

SISTEM eTANAH MUDAHKAN ORANG AWAM BERURUSAN PERIHAL TANAH



Oleh : Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 24 April – Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, bagi mentransformasikan semua urusan pentadbiran tanah kepada eGoverment atau Kerajaan Elektronik selaras dengan Transformasi Digital Negara, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan inisiatif sistem eTanah.

Katanya, tujuan utama pembangunan sistem ini adalah untuk mempercepatkan proses urusan tanah oleh Kerajaan Negeri agar dapat mempertingkatkan lagi kualiti penyampaian kepada pelanggan dan orang awam dalam era teknologi semasa.

“Pejabat Tanah Galian (PTG) dengan kerjasama Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Bahagian Undang-Undang, Pejabat Setiausaha Negeri Kelantan kini masih dalam proses semakan Perjanjian Konsesi eTanah bersama Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun dalam hal ini, kerajaan negeri telah meluluskan pelaksanaan Sistem eTanah Negeri Kelantan dalam Persidangan MMK Kali -11/2024 bertarikh 12 Jun, 2024,” jelasnya pada Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan, hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Melor YB Tuan Wan Rohimi Wan Daud, bagaimanakah kerajaan negeri dapat memastikan golongan B40 dan penduduk luar bandar mendapat manfaat secara langsung daripada inisiatif pendigitalan pentadbiran tanah.

Jelasnya, golongan B40 dan penduduk luar bandar akan sentiasa menjadi keutamaan dengan memastikan mereka ini mendapat manfaat secara langsung daripada inisiatif pendigitalan E tanah kerana banyak faedah yang terdapat dalam sistem ini.

“Antara faedah diperolehi adalah memudahkan orang awam berurusan dengan Pejabat Tanah melalui kaunter berpusat yang menyediakan pelbagai kemudahan urusan tanah dalam satu kaunter, selain mempercepatkan proses urusan tanah dan capaian maklumat oleh pelanggan tanpa mengabaikan aspek keselamatan,” katanya.

Selain itu, katanya, turut disediakan ialah Portal Awam untuk permohonan dan semakan secara dalam talian bagi urusan semakan status permohonan melalui nombor resit, permohonan secara dalam talian untuk urusan seperti Strata, Consent dan Lelong serta membuat carian persendirian secara dalam talian dapat dibuat.

Post a Comment

0 Comments