Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco Sukan
Kredit foto: Unit Media Exco Sukan
KOTA BHARU, 15 Mei – Penganjuran Sukan Mahabbah Persatuan Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Islam (PTU) 2025 menjadi wadah berkesan dalam memperkukuh ukhuwah serta membangkitkan semangat dakwah dalam kalangan pegawai agama di Kelantan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, temasya tersebut bukan sekadar pentas persaingan sukan, sebaliknya merupakan medium strategik dalam membina kesatuan hati, kepercayaan dan jaringan kerja yang erat antara agensi serta individu.
“Program ini adalah lambang penyatuan jiwa dan semangat kebersamaan yang amat diperlukan dalam mendepani cabaran dakwah dan pembangunan ummah masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup Sukan Mahabbah PTU 2025 di Kompleks Islam Sultan Ismail Petra, Balai Islam Lundang, hari ini.
Menurut beliau, para pegawai Hal Ehwal Islam tidak sekadar berperanan sebagai penjawat awam, malah turut menggalas misi besar sebagai duta dakwah yang membawa nilai Islam dalam setiap aspek kehidupan termasuk dalam bidang sukan dan riadah.
“Program seperti ini sangat bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW yang menganjurkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti seperti lumba lari, memanah dan menunggang kuda, di samping menjaga kesihatan jasmani,” katanya.
YB Zamakhshari turut menegaskan bahawa dalam era yang sarat dengan cabaran sosial dan pengaruh ideologi songsang, pegawai hal ehwal agama tidak boleh bertindak bersendirian.
“Mereka perlu berganding bahu, membina jaringan kerjasama kukuh dan saling mendukung antara satu sama lain. Sukan Mahabbah ini menjadi platform penting untuk menyemai semangat satu pasukan, satu misi dan satu tujuan dakwah,” katanya.
Sukan Mahabbah PTU 2025 menghimpunkan lima kontinjen dari agensi agama Islam utama negeri Kelantan, iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan (JKSNK), Jabatan Mufti Negeri Kelantan, dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan.
Sebanyak tujuh acara dipertandingkan sepanjang temasya berlangsung termasuk ping pong, sepak raga bulatan, bola jaring, congkak dan sepakan penalti.
0 Comments